Selasa, 21 Mac 2017

Separuh akhir pusingan akhir Piala Thomas - Malaysia miliki kelebihan



ARKIB : 03/03/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
MALAYSIA mempunyai peluang cerah menempah tiket ke separuh akhir pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas setelah diundi dalam kumpulan B bersama-sama juara bertahan Indonesia, Thailand dan Jerman.

Undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam meletakkan tuan rumah China, Denmark, Korea dan Sweden dalam kumpulan A yang dianggap sebagai `kumpulan maut.'

Jurulatih beregu negara, Park Joo-bong berkata, undian itu memberi kelebihan kepada Malaysia yang memang berharap tidak berada satu kumpulan bersama China dan Denmark.

``Ia satu undian yang baik dan di atas kertas kita berpeluang untuk mara ke separuh akhir.

``Indonesia sudah pasti menjadi pasukan terkuat dalam kumpulan ini dalam usaha mereka mempertahankan gelaran,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Walaupun Malaysia muncul juara keseluruhan dalam kempen kelayakan zon Asia di Melbourne minggu lepas, Joo-bong mengakui Thailand dan Jerman boleh menjadi lawan yang berbahaya.

``Kami perlu membuat pemerhatian mengenai perkembangan dan kemampuan pemain Jerman kerana mereka bukanlah pasukan yang biasa menyertai Piala Thomas,'' katanya.

Berdasarkan ranking, Jerman mempunyai kekuatan di bahagian beregu menerusi gandingan Kristof Hopp dan Thomas Tesche yang menduduki ranking ke-14 dunia.

Gandingan Jochen Cassel dan Ingo Kindervater pula dijangka disenaraikan sebagai beregu kedua dan kini berada di tangga ke-21 dunia.

Berdasarkan ranking perseorangan Jerman, pasukan negara dianggap masih mempunyai kelebihan. Bjoern Joppien menduduki ranking ke-30, Oliver Pongratz (43) dan Jens Roch (50). Malaysia dijangka mengharapkan barisan pemain perseorangan yang sama ketika beraksi di Melbourne iaitu Wong Choong Hann (3), Ong Ewe Hock (5), Roslin Hashim (9) dan Lee Tsuen Seng (13).

Namun kejayaan Jerman menewaskan India 3-0 pada separuh akhir kelayakan Eropah minggu lalu memberi petanda awal mereka boleh menjadi pengacau. Joo-bong kini meminta gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menyertai kejohanan Seluruh England, pertandingan antarabangsa pertama mereka setelah berehat panjang akibat kecederaan untuk melihat kemampuan pemain Jerman.

Beliau yang akan menemani pemain ke kejohanan Terbuka Korea dan Jepun selepas itu juga akan meninjau prestasi semasa pemain Jerman dan Thailand di sana.

Menurut bekas pemain dan jurulatih Korea itu, walaupun pemain negara berjaya menewaskan Thailand 3-0 pada separuh akhir kelayakan, di Guangzhou, China mungkin berbeza.

Sementara itu untuk pertandingan Piala Uber, pasukan wanita Denmark, Hong Kong, Indonesia dan Belanda diletak dalam kumpulan A sementara China, Korea, Jepun dan Jerman dalam kumpulan B.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bxP6YRcU© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan