Rabu, 29 Mac 2017

Misbun tidak berani ramal peluang pemain

ARKIB : 07/03/2003
WALAUPUN memiliki juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan juara Terbuka China, Wong Choong Hann dalam pasukan negara, jurulatih perseorangan kebangsaan, Misbun Sidek tidak berani meletakkan sasaran tinggi pada Kejohanan Dunia di Birmingham, 12-18 Mei depan.

Ketika Misbun Sidek enggan meramalkan prospek pemain untuk melepasi pusingan ketiga, ketua jurulatih beregu, Yap Kim Hock pula tidak terlalu menaruh harapan tinggi kepada anak-anak buahnya untuk mengulangi pencapaian mengisi dua tempat separuh akhir seperti yang dilakukan di Seville, dua tahun lalu.

Kedua-dua jurulatih itu sependapat, bahawa hanya undian yang akan dikeluarkan Persekutuan Antarabangsa (IBF), Mei ini dapat memberi gambaran sebenar sejauh mana pemain negara mampu pergi.

``Hafiz telah mencapai satu tahap yang tinggi apabila muncul juara Seluruh England, namun ia bukan satu jaminan bahawa dia dapat mengulangi kejayaan itu,'' kata Misbun selepas pengumuman barisan pemain ke Kejohanan Dunia di Bukit Kiara, semalam.

``Dia baru kembali berlatih selepas bercuti hampir dua minggu, jadi tahap permainannya masih belum mencapai seperti yang diharapkan, manakala Choong Hann dan (Lee) Tsuen Seng pula masih belum konsisten dalam latihan masing-masing.''

Menurut Misbun, ketiga-tiga pemain kini berada dalam kelas yang hampir sama dengan pemain utama dunia yang lain, namun laluan yang bakal diterima pada kejohanan itu akan menjadi faktor penentu terbesar.

Katanya, sekiranya memiliki undian yang berpihak kepada Malaysia, potensi untuk melihat pemain negara layak ke suku akhir adalah cerah, namun jika terpaksa berdepan saingan yang sukar seawal undian, keadaan boleh menjadi sebaliknya.

Pada kejohanan di Seville lalu, Ong Ewe Hock dan Tsuen Seng menjadi perseorangan terbaik negara dengan melayakkan diri ke pusingan ketiga, sementara Mohd. Roslin Hashim, yang ketika itu turun sebagai pemain nombor satu dunia kandas di pusingan kedua.

Bekas jaguh negara, Rashid Sidek masih kekal memegang rekod terbaik perseorangan Malaysia pada Kejohanan Dunia dengan melangkah ke suku akhir.

Sementara itu, Kim Hock menegaskan, perkembangan beregu negara ketika ini tidak sebaik dua tahun lalu apabila Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah layak ke separuh akhir.

Tegasnya, selain Chong Ming dan Wan Wah yang sedang dibelenggu kecederaan, beregu Malaysia juga tidak memberikan keputusan memberangsangkan dalam tempoh dua tahun ini.

``Kami akan cuba yang terbaik untuk mencatat keputusan baik tetapi saya tidak terlalu berharap untuk menyamai pencapaian lalu,'' kata Kim Hock.

``Dua tahun lalu, kedua-dua pemain berada dalam keadaan cergas dan cukup bersedia ketika beraksi, tetapi kali ini mereka masih bergelut dengan kecederaan dan kecergasan.

``Apa pun, saya harap pencapaian Tan Fook-Wan Wah di Seluruh England lalu (mara ke suku akhir) merupakan petanda baik buat mereka untuk meneruskan kecemerlangan di Birmingham.''

Sementara itu kedua-dua jurulatih berkata, penyertaan perseorangan dan beregu wanita, Wong Mew Choo dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty serta beregu campuran, Chew Eng-Eei Hui sekadar mencari pendedahan tanpa sebarang sasaran.

Kejohanan Badminton Dunia:

LELAKI

perseorangan:

Wong Choong Hann,

Muhammad Hafiz Hashim,

Lee Tsuen Seng

Beregu:

Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah

WANITA

perseorangan:

Wong Mew Choo,

Beregu:

Chin Eei Hui-Wong Pei Tty

Beregu campuran:

Chew Choon Eng-Chin Eei Hui
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ciAfEM6C

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan