Khamis, 23 Mac 2017

Penampilan bersejarah



ARKIB : 09/05/2002
GUANGZHOU - Empat pendatang baru Piala Thomas, Muhammad Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Chew Choong Eng dan Chang Kim Wai dijangka membuat penampilan pertama pada perlawanan pembukaan menentang Jerman, esok.

Pasukan negara dijangka merehatkan beberapa pemain utamanya yang hanya akan diturunkan dalam dua lagi perlawanan Kumpulan B yang dianggap lebih penting, menentang penyandang juara, Indonesia pada 12 Mei dan bertemu Thailand (14 Mei).

Jurulatih perseorangan negara, Indra Gunawan berkata, di atas kertas, kelima-lima perseorangan Malaysia mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan ke atas mana-mana pemain Jerman dan rekod tersebut memudahkan percaturan strategi dibuat, selain memberi peluang kepada pemain muda untuk diturunkan buat kali pertama.

``Kita tidak semestinya perlu menurunkan pasukan terkuat, tetapi yang penting barisan pemain yang sesuai untuk pertemuan dengan Jerman,'' katanya, semalam. ``Ada kemungkinan satu... dua pemain baru diberi peluang beraksi dan ini adalah pengalaman yang baik untuk mereka,'' katanya lagi.

Bagaimanapun Indra menegaskan, Malaysia perlu berhati-hati dan tidak mengambil mudah cabaran Jerman yang mampu mencipta kejutan dengan barisan muda yang diketuai pemain nombor 29 dunia, Bjoern Joppien.

``Kita biasanya akan melihat tayangan video setiap pasukan yang akan ditemui, tetapi untuk Jerman kita tidak mempunyai pita rakaman dan tidak tahu sejauh mana kekuatan terkini pasukan itu.

``Mereka mencatat beberapa keputusan baik dalam saingan kelayakan apabila mengalahkan Belanda dan India untuk muncul naib juara Eropah, ia rekod yang baik dan perlu diberi perhatian.''Sementara itu Indra berkata, pertemuan kedua peringkat kumpulan bertemu Indonesia memerlukan strategi yang teliti kerana kedudukan Marleve Mainaky sebagai perseorangan pertama mampu memberi kelebihan kepada pasukan itu. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9g4ImZ2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan