Jumaat, 24 Mac 2017

Kejayaan besar Hafiz



ARKIB : 05/08/2002
PEMAIN perseorangan negara, Mohammad Hafiz Hashim menjerit kegembiraan sebaik muncul juara untuk meraih pingat emas Sukan Komanwel di Manchester, semalam.

MANCHESTER - Pemain Nusa Mahsuri, Muhammad Hafiz Hashim mencipta kejayaan terbesar dalam kariernya apabila merangkul gelaran antarabangsa pertama dengan memenangi pingat emas Sukan Komanwel XVII di Arena Bolton, di sini semalam.

Hafiz, 20, yang sebelum ini mengejutkan pemenang pingat emas 1998, Wong Choong Hann meneruskan kecemerlangan apabila menewaskan seorang lagi rakan senegara, Lee Tsuen Seng 7-3, 7-1, 3-7, 7-8, 7-4 dalam perlawanan akhir menarik yang mengambil masa hampir sejam.

Pingat emas Malaysia memang telah dijangka selepas dua pemain negara mara ke perlawanan akhir, kelmarin. Begitu perlawanan ini tetap sengit dan dianggap menarik menampilkan dua pemain terbaik perseorangan negara.

``Saya cuba bermain secara selamat pada set pertama dan kedua tetapi mudah memenanginya tetapi saya agak tenang pada set berikutnya sehingga memberi peluang kepada Tsuen Seng.

``Pada set kedua, kami sama-sama kepenatan dan perlawanan menjadi sengit.

Hanya mental menjadi senjata dan kekuatan saya. Kalau saya menyerah, sudah pasti kalah,'' kata Hafiz yang kelihatan tenang sepanjang perlawanan.

Menurut Hafiz, dia mempunyai kelebihan kerana pertandingan ini menggunakan sistem tiga mata.

``Kalau 15 mata, mungkin sukar bagi saya. Apa pun kejayaan pertama ini bakal menjadi pendorong bagi saya untuk lebih maju,'' kata Hafiz, yang melemparkan raket dan bajunya kepada penonton sejurus memenangi perlawanan dan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tsuen Seng pula berkata, dia agak tertekan selepas ketinggalan dua set awal tetapi merasakan berpeluang selepas bangkit memenangi dua set berikutnya.

``Apa pun perlawanan tadi menampilkan kualiti permainan. Saya tetap gembira.

Ia adalah kejayaan bersama. Lagipun, kami bertiga sememangnya menjadi pilihan di sini,'' kata Tsuen Seng.

Choong Hann, yang tewas pada separuh akhir menerima pingat gangsa bersama pemain Wales, Richard Vaughn.

Dalam acara beregu campuran, Malaysia sekadar meraih pingat perak apabila pasangan Chew Choon Eng dan Chin Eei Hui tewas kepada pasangan England, Simon Archer dan Jo Goode 0-7, 7-5, 7-3, 7-3. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cF1bHw6o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan