Selasa, 28 Mac 2017

Bakat Hafiz akan digilap


 

ARKIB : 19/02/2003
Kepulangan wira bangsa.

BAKAT juara perseorangan kejohanan Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim akan terus digilap bagi menjadikannya juara dunia pada masa akan datang.

Pengasas kelab badminton Nusa Mahsuri, Jalani Sidek berkata, pelbagai rancangan dan program latihan akan diatur bagi memastikan pemain itu terus mengungguli pentas badminton antarabangsa.

Katanya, antara percaturan awal bagi mengekalkan pemain itu berada pada tahap terbaik ialah dengan merehatkannya dari menyertai kejohanan Terbuka Switzerland.

``Dia sepatutnya terus menyertai kejohanan itu (Terbuka Switzerland) tetapi memandangkan dia masih letih, kita mengambil keputusan supaya dia tidak bertanding,'' katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.

Katanya, selepas ini pemain tersebut akan memberi tumpuan kepada dua kejohanan utama iaitu Terbuka Jepun dan juga Kejohanan Dunia.

Mengulas kejayaan Hafiz pada kejohanan Seluruh England, Jalani Sidek berkata ia adalah hasil pengorbanan yang dilakukan oleh pemain itu selama ini.

``Banyak kesukaran dan cabaran yang dilalui oleh pemain itu selama dua tahun sebelum berada pada tahap ini. Saya yakin dia (Hafiz) sudah merasa ganjaran atas usahanya selama ini,'' katanya.

Menurut Jalani, kelebihan Hafiz terletak pada kemahirannya mempelbagaikan rentak permainan dan bijak membaca pergerakan lawan.

``Dia pemain yang agak `berkira' dan tak memberi peluang bila bertemu dengan lawan dan ini dibuktikan pada perlawanan akhir bertemu Chen Hong baru-baru ini,'' katanya.

Jalani pernah memenangi acara beregu kejohanan Seluruh England pada 1982 bersama abangnya, Razif.

Tambahnya, masih banyak yang perlu dipelajari oleh Hafiz terutama kelemahan dari segi pergerakan kakinya.

``Dia mempunyai kelebihan dari segi ketinggian tetapi perlu memantapkan pergerakannya untuk menjadi pemain yang digeruni,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Mustakim Aminuddin yakin kemenangan Hafiz pada kejohanan Seluruh England adalah petanda kebangkitan sukan badminton negara di peringkat antarabangsa selepas lama tersisih.

``Kita bangga bukan sahaja dengan kejayaan Hafiz tetapi juga pemain lain yang membawa cabaran negara ke kejohanan itu.

``Ia pencapaian yang membanggakan kerana dalam acara perseorangan kita mempunyai empat wakil pada peringkat suku akhir,'' katanya.

Ujarnya, kejayaan Hafiz pada usia 20 tahun perlu dicontohi oleh pemain muda lain bagi mengangkat maruah negara dalam sukan itu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cccQsnbY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan