Khamis, 23 Mac 2017

Malaysia miliki kelebihan



ARKIB : 19/04/2002
MALAYSIA memiliki kelebihan untuk mengatasi Indonesia dan menjuarai kumpulan B jika barisan Piala Thomas yang diumumkan kedua-dua negara semalam dijadikan ukuran.

Peluang skuad negara untuk mencuri satu mata menerusi acara beregu lebih cerah apabila Indonesia hanya memiliki satu pasangan yang kuat, Candra Wijaya-Sigit Budiarto.

Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) tidak menyenaraikan juara Olimpik, Tony Gunawan yang kini menuntut di Amerika Syarikat, meninggalkan cabaran beregu kedua kepada Halim Haryanto-Trikus Heryanto, manakala Bambang Suprianto sebagai pemain simpanan.

``Halim-Trikus belum konsisten, sekurang-kurangnya peluang untuk meraih satu mata daripada beregu kedua cerah,'' kata jurulatih beregu, Park Joo-bong, semalam.

``Jika Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook turun sebagai beregu kedua, saya percaya kita boleh dapat satu mata daripada mereka.''

Pasangan nombor empat dunia, Candra-Sigit bagaimanapun masih dianggap cabaran kuat buat beregu nombor satu negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng.

Ancaman utama Indonesia dijangka datang daripada acara perseorangan, apabila juara bertahan itu kembali mendapat sentuhan pemain kontroversi dan juara Terbuka Singapura, Taufik Hidayat.

Barisan perseorangan negara itu juga lebih mantap dengan kehadiran dua jaguh veteran - juara dunia, Hendrawan serta juara Terbuka Indonesia, Marleve Mainaky.

Walaupun pemain muda, Rony Agustinus gagal membuktikan kemampuan bermain dalam acara berpasukan apabila beraksi buruk pada Sukan SEA XXI tahun lalu, dia tetap mendapat kepercayaan bersama pemain nombor 27 dunia, Budi Santoso.

Pada Sukan SEA XXI, Malaysia mengejutkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir, sekali gus menamatkan penantian 10 tahun merangkul pingat emas berpasukan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c8fDMqOf© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan