Selasa, 21 Mac 2017

Tiga pemain perseorangan teruskan cabaran



ARKIB : 29/03/2002
YEOSU CITY - Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea diteruskan oleh tiga perseorangan utamanya, Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock dan Lee Tsuen Seng yang melangkah ke suku akhir, semalam.

Bagaimanapun, cabaran negara dalam beregu lelaki berakhir apabila pasangan Chan Chong Ming-Chew Choong Eng kandas di pusingan kedua selepas tewas 4-7, 1-7, 2-7 kepada beregu tuan rumah dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Lee Dong Soo-Yoo Yong Soo.

Pemain muda, Sairol Amar Ayob pula mengecilkan peluangnya untuk merebut tiket ke Piala Thomas di China, Mei ini apabila tidak memberi tentangan ketika tewas mudah kepada perseorangan utama Korea, Lee Hyun Il 0-7, 1-7, 0-7.

Choong Hann yang masih memburu gelaran pertama sejak merangkul pingat emas Sukan Komanwel 1998, mengetepikan pemain Jepun Shinya Otsuka 8-6, 7-1, 7-1.

Pemain nombor lima dunia itu akan bertemu pemain sedang meningkat, Shon Seung Mo dari Korea pada suku akhir hari ini. Seung Mo mara selepas mengejutkan pemain nombor tujuh dunia dari China, Bao Chunlai 7-4, 2-7, 7-5, 7-1.

Pemain veteran, Ewe Hock yang hampir pasti mendapat tiket ke Guangzhou tidak menghadapi masalah menyingkirkan seorang lagi pemain Jepun, Keita Masuda 7-1, 7-2, 7-0.

Bagaimanapun juara Terbuka Malaysia dan pemain nombor enam dunia itu bakal berdepan tugas getir pada saingan suku akhir hari ini apabila menantinya adalah pemain nombor satu dunia dan juara Olimpik, Xia Xuanze dari China.

Sementara itu kemenangan 7-1, 7-4, 4-7, 1-7, 7-1 ke atas pemain China, Chen Yu mencerahkan peluang pemain muda, Tsuen Seng untuk membuat penampilan sulung pada pusingan akhir Piala Thomas.

Naib juara Terbuka Switzerland 2001 itu akan bertemu pemain veteran Korea, Park Tae Sang pada suku akhir.

Cabaran negara dalam acara wanita berakhir selepas beregu Lim Pek Siah-Ang Li Peng tunduk 1-7, 7-8, 6-8 kepada pasangan China, Chen Lin-Jiang Xuelian pada pusingan kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4byU0Z39Z© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan