Selasa, 28 Mac 2017

Hafiz di tangga ke-16

ARKIB : 01/03/2003
WALAUPUN gagal meraih sebarang gelaran dalam dua kejohanan terakhir yang disertainya, pemain nombor satu Malaysia, Wong Choong Hann kekal di tangga ketiga dalam ranking dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), semalam.

Choong Hann, 26, tewas pada pusingan ketiga di Terbuka Switzerland kepada pemain meningkat naik Indonesia, Sony Dwi Kuncoro, manakala pada kejohanan All England, pemain kidal ini kecundang dalam pusingan kedua kepada rakan senegara, Yong Hock Kin.

Daripada 10 kejohanan yang disertainya, Choong Hann mengumpul 2,545 mata, ketinggalan hanya 48 mata di belakang pemain di tangga kedua, Xia Xuanze dari China, tetapi ketinggalan 686 mata di belakang pemain nombor satu dunia, Chen Hong, juga dari China.

Tahun lepas, Choong Hann berjaya memenangi dua kejuaraan iaitu Terbuka Belanda dan Terbuka China.

Sementara itu, juara All England, Muhammad Hafiz Hashim, yang bercita-cita menjadi pemain nombor satu dunia, kekal di tangga ke-16 untuk seminggu lagi, manakala bekas jaguh kebangsaan, James Chua, yang kini pemain nombor tiga negara, menduduki ranking ke-19 dunia.

Abang Hafiz, Roslin, yang hanya berjaya ke peringkat separuh akhir All England baru-baru ini, jatuh 15 anak tangga ke tempat 32 manakala bekas pemain nombor satu negara, Ong Ewe Hock kini menduduki tangga ke-23 berbanding tangga ke-12 minggu lepas.

Pemain lain yang mengalami kejatuhan ranking termasuk Lee Tsuen Seng (19 ke 25th), Ismail Saman (50 ke 51) dan juara bertahan kebangsaan Lee Chong Wei (80 ke 83).

Dalam beregu lelaki, pasangan nombor satu negara, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng, yang tewas pusingan kedua All England, kembali menduduki tempat keenam daripada tempat kelima minggu lepas. Sebelum itu, mereka menduduki tangga keenam sejak 14 November lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cd7Zob3Z

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan