Khamis, 23 Mac 2017

Tsuen Seng kejutkan Xuanze



ARKIB : 29/06/2002

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
NAIB juara Terbuka Indonesia, Lee Tsuen Seng mengejutkan pemain nombor satu dunia, Xia Xuanze untuk menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Proton-EON di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa), semalam.

Selain Tsuen Seng, dua lagi pemain perseorangan negara, juara bertahan Ong Ewe Hock dan James Chua turut menempah tiket ke separuh akhir kejohanan empat bintang tersebut.

Tsuen Seng, pemain kelapan dunia mencemaskan ratusan penonton sebelum menang straight set 15-7, 17-16 dalam perlawanan sengit selama 50 minit.

Kemaraan tiga pemain itu memastikan Malaysia mendapat sekurang-kurangnya satu tempat ke perlawanan akhir dengan James akan bertemu Tsuen Seng hari ini.

Sementara itu, pemain keempat dunia, Bao Chunlai menjadi wakil tunggal China menempah tiket ke separuh akhir selepas mengalahkan Ronald Susilo dari Singapura 15-12, 15-6.

James mara selepas menewaskan rakan senegara yang juga pemain ketiga dunia, Wong Choong Hann 15-7, 15-4.

Choong Hann yang bermain dengan tenang cuba menyaingi ketangkasan James tetapi dihalang oleh persembahan terbaik pemain muda itu.

Sementara itu, Tsuen Seng ketika ditemui selepas perlawanan berkata: `'Saya melakukan yang terbaik dalam perlawanan ini dan ia membuahkan hasil yang membanggakan,''.

Ewe Hock, 30,akan bertemu Chunlai setelah mengharungi saingan sengit sebelum menewaskan Lin Dan dari China, 15-11, 15-9.

Lin Dan, pemain kedua dunia gagal menyaingi kehebatan pemain berpengalaman negara yang bermain dengan tenang dan mudah membaca gaya permainan lawan.

Sementara itu pasangan bidan terjun, Chong Tan Fook dan Chang Kim Wai menjadi wakil tunggal mara ke separuh akhir setelah beregu utama negara, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming mengakhiri cabaran mereka semalam.

Tan Fook-Kim Wai bagaimanapun terpaksa bertarung hingga ke set penentuan sebelum menundukkan pasangan Denmark, Michael Sogard dan Michael Lamp 15-2, 13-15, 15-3.

Kemaraan itu membolehkan mereka bertemu satu lagi beregu Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen yang mara setelah bertarung sengit menewaskan Nathan Robertson-Anthony Clark dari England 8-15, 15-6, 15-9.

Choon Eng-Chong Ming pula tumpas kepada pasangan China Liu Yong-Chen Qiqiu dari China 8-15, 10-15.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cDQsirNM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan