Rabu, 22 Mac 2017

Piala Thomas: Usia bukan penghalang Ewe Hock untuk bersaing

ARKIB : 12/04/2002
FAKTOR usia mungkin menghalang pemain veteran, Ong Ewe Hock untuk membantu Malaysia dalam acara beregu pada pusingan akhir badminton Piala Thomas di China, bulan depan.

Bagaimanapun, pengalamannya beraksi dalam lima kejohanan berpasukan prestij itu memudahkan juara Terbuka Malaysia itu untuk beraksi dalam sebarang posisi perseorangan.

Menurut Ewe Hock, 29, dia bersedia untuk ditugaskan sebagai perseorangan pertama dan yakin tanggungjawab tersebut tidak akan memberi tekanan.

``Saya pernah jadi perseorangan pertama, pernah juga jadi perseorangan kedua...jadi saya sentiasa bersedia jika menerima mana-mana posisi,'' katanya, semalam.

``Saya tidak kisah kalau diturunkan sebagai perseorangan kedua, tetapi perseorangan pertama lebih menarik. Apa pun, terserahlah kepada jurulatih.''

Begitu pun menurut Ewe Hock, dia terpaksa mengambil kira pelbagai faktor dalam memberi pertimbangan jika diminta membantu dalam acara beregu.

Katanya, faktor usia tidak memungkinkan dia menyertai terlalu banyak perlawanan dalam tempoh terdekat, tetapi penggunaan sistem tujuh mata mungkin kurang memberi kesan.

``Ada beberapa perkara yang perlu saya fikirkan, pertama stamina dan kedua keserasian. Nampak mustahil untuk saya beraksi pada satu masa, tetapi saya akan berbincang dengan jurulatih.

``Mungkin jika ia satu keperluan yang tidak dapat saya tolak, saya perlu sedia menerimanya. Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat dulu situasi Lee Wan Wah.''

Ewe Hock ketika ini menjadi calon utama untuk diturunkan sebagai perseorangan pertama dengan statusnya sebagai pemain ranking kelima, diikuti Wong Choong Hann keenam.

Begitu pun, kedudukan tersebut mungkin berubah apabila Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mengeluarkan ranking terbaru dan terakhir sebelum kejohanan 9-19 Mei ini.

Jurulatih beregu, Park Joo-bong kini sedang memikirkan tentang kemungkinan meminjam pemain perseorangan untuk digandingkan dengan Choong Tan Fook selepas kedudukan Wan Wah masih diragui kerana kecederaan kaki.

Beregu nombor satu negara Chan Chong Min-Chew Choon Eng kekal sebagai pasangan utama Malaysia pada Piala Thomas.

Sekiranya Wan Wah gagal pulih menjelang kejohanan itu, Chan Kim Wai-Hong Chieng Hun akan beraksi sebagai beregu kedua, manakala Tan Fook mengisi kuota pemain beregu kelima.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c4cB8tl0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan