Jumaat, 24 Mac 2017

Hafiz rancang kejutan lagi



ARKIB : 08/08/2002
 
MUHAMMAD Hafiz Hashim mungkin mencipta satu daripada kejutan terbaru dalam kancah badminton negara apabila muncul juara baru perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel di Manchester lalu.

Tetapi anak muda dari Kelantan itu belum puas dengan apa yang dikecapinya malah memberi amaran akan melakukan beberapa lagi kejutan selepas ini.

``Saya kini berada pada prestasi terbaik dan bersedia untuk sebarang kejohanan. Saya yakin mampu mencipta beberapa lagi kejutan,'' kata pemain berusia 19 tahun itu.

Pemain yang bernaung di bawah kelab Nusa Mahsuri itu disambut penuh ceria oleh sanak saudara dan sahabat handai setibanya bersama atlet lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Manchester, semalam.

Hafiz merangkul pingat emas pertamanya dalam Sukan Komanwel, penyertaan pertamanya pada temasya itu, selepas menewaskan rakan senegara, Lee Tsuen Seng pada perlawanan akhir.

``Selepas kejayaan besar ini, saya kini amat mengidam untuk meraih pingat emas pada Sukan Asia di Busan,'' tegasnya.

Begitupun, Hafiz sedar saingan yang bakal dihadapinya di Busan amat berbeza dengan cabaran di Manchester.

``Sudah lama saya memendam hasrat untuk meraih pingat emas Sukan Asia. Tapi cabaran dalam temasya ini lebih sukar dengan adanya pemain China, Indonesia dan Korea Selatan,'' katanya.

Mengenai sistem kiraan mata yang berbeza pada Sukan Asia berbanding Sukan Komanwel lalu, Hafiz berkata ia mungkin menambah kesukaran untuknya beraksi lebih baik di Busan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cFULRlf1© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan