Isnin, 20 Mac 2017

Ewe Hock yakin mampu pergi jauh

ARKIB : 14/02/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
PEMAIN perseorangan negara, Ong Ewe Hock tidak menganggap kekalahannya kepada dua pemain muda negara sebagai isyarat dia sudah tidak mampu lagi pergi jauh dalam sukan badminton di peringkat antarabangsa.

Menurut Ewe Hock, kekalahan kepada James Chua pada kejohanan Grand Prix akhir 28 Januari lepas dan beberapa pertemuan sebelumnya bukanlah sesuatu membimbangkan.

``Memang saya belum pernah menewaskannya dalam setiap pertemuan, tetapi dia (James) memang sudah mengetahui corak permainan saya dan pastinya ini memberi kelebihan.

``Tetapi di peringkat antarabangsa terutama di kejohanan berpasukan, saya lebih berpengalaman dan bersedia menghadapinya,'' katanya.

Dia berkata demikian selepas menjalani latihan menjelang pusingan kelayakan kejohanan badminton Piala Thomas-Uber yang akan berlangsung di Melbourne, Australia, minggu depan.

Selain daripada James, Ewe Hock juga tewas kepada pemain muda Nusa Mahsuri, Mohd. Hafiz Hashim semasa perlawanan simulasi di dewan Persatuan Badminton Selangor (SBA) minggu lepas.

Dalam usia yang menjangkau 30 tahun, Ewe Hock memberitahu dia tidak begitu serius semasa turun beraksi menentang pemain yang 10 tahun lebih muda daripadanya.

``Ketika itu pasukan saya sudah menang. Jadi saya hanya turun bermain seperti biasa dan yang penting mengelakkan sebarang kecederaan,'' ujarnya.

Mengenai penyertaan ketiganya di pusingan kelayakan dan kelima di pusingan akhir Piala Thomas, Ewe Hock berkata, dia sudah bersedia menghadapi tekanan serta persaingan sengit di kejohanan itu.

``Saya sudah mempunyai banyak pengalaman dan akan menggunakannya untuk membantu kemenangan pasukan,'' ujarnya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga tidak kesah dengan kedudukannya sebagai perseorangan ketiga dalam pasukan itu.

Menurutnya, sama ada diletakkan sebagai perseorangan pertama, kedua mahupun ketiga, pemain mempunyai tugas yang sama iaitu berusaha menyumbang mata kepada pasukan.

``Saya sudah dua kali ditugaskan sebagai perseorangan pertama iaitu semasa pusingan akhir Piala Thomas 1998 di Hong Kong dan 2000 di Kuala Lumpur.

``Kali ini saya berada di kedudukan ketiga di belakang Wong Choong Hann dan Roslin Hashim. Tetapi saya tak kesah kerana tugas utama adalah untuk memberi prestasi terbaik dan menyumbang mata,'' jelasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bs8uQPd6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan