Jumaat, 24 Mac 2017

Hafiz atasi Choong Hann



ARKIB : 04/08/2002
MANCHESTER - Jaguh muda negara, Muhammad Hafiz Hashim mengejutkan penyandang juara dan rakan senegara, Wong Choong Hann untuk mara ke perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Komanwel XVII, semalam.

Choong Hann, 25, pemain nombor empat dunia diletakkan sebagai pilihan utama untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Kuala Lumpur empat tahun lalu.

Begitupun Hafiz, 20, yang membuat penampilan pertama Sukan Komanwel selepas bermain cemerlang pada Piala Thomas lalu menyingkirkan Choong Hann 6-8, 8-6, 7-0, 7-8, 7-3 untuk mengesahkan sekurang-kurangnya pingat perak.

Malaysia turut menghampiri gelaran beregu lelaki apabila pasangan utama negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng melangkah ke akhir dengan menewaskan pasangan tuan rumah, James Anderson-Simon Archer 7-4, 7-5, 7-2.

Sementara itu pasangan Ong Beng Hee dan Nicol David menepati status sebagai pilihan kedua dan mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa selepas mara ke separuh akhir skuasy beregu campuran.

Beng Hee-Nicol menewaskan Gavin Jones-Karen Hargreaves dari Wales 15-13, 15-7 untuk bertemu beregu England, Fiona Geaves-Chris Walker yang mengejutkan Sarah Fitz-Gerald-Paul Price dari Australia 17-16, 13-15, 15-7.

Pemain muda negara, Siti Zalina Ahmad meneruskan kecemerlangan dalam boling padang perseorangan wanita apabila layak ke separuh akhir selepas menewaskan pemain England, Jeannie Baker 21-14 untuk bertemu Marlene Castle dari New Zealand.

Dalam acara menembak, pemenang pingat emas 1998, Nurul Hudda Baharin terus hampa apabila hanya menduduki tangga keenam 50 meter raifal prone, manakala Roslina Bakar yang meraih gangsa dalam 50m raifal tiga posisi sekadar berada di tangga ke-20.

Acara itu dimenangi Kim Frazer dari Australia yang mencatat 588 mata, perak milik Esmari Van Reenen dari Afrika Selatan juga dengan 588 dan gangsa diraih Juliet Etherington dari New Zealand. Nurul membuat 584, manakala Roslina 571. - Mingguan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cEyhajst
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan