Ahad, 19 Mac 2017

Choong Hann kekal nombor satu negara

ARKIB : 15/12/2001
SELEPAS kebanyakan pemain berehat daripada kejohanan antarabangsa sebaik berakhirnya Terbuka Thailand bulan lalu, tidak banyak perubahan berlaku dalam ranking terbaru dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan, semalam.

Juara Sukan Komanwel, Wong Choong Hann kekal sebagai perseorangan nombor satu negara selepas tidak berganjak daripada ranking ketiga dunia di belakang dua jaguh China, Xia Xuanze dan Chen Hong, sementara Roslin Hashim masih berkedudukan keempat dunia.

Pemain veteran, Ong Ewe Hock dan dua bintang remaja sedang meningkat, Lee Tsuen Seng serta Sairol Amar Ayob, masing-masing kekal di ranking kelapan, ke-13 dan ke-14.

Pemain remaja Nusa Mahsuri, Muhd. Hafiz Hashim yang masih segar dengan kemenangan pada Satelit Lusters Malaysia di Kedah minggu lalu, memperbaiki dua anak tangga daripada ranking ke-26 dunia kepada 24.

Tiga lagi pemain negara, Lee Chong Wei, James Chua dan Ramesh Nathan berjaya kekal dalam kedudukan 50 pemain terbaik dunia selepas menduduki tangga ke-44, 46 dan 50. Manakala pasangan muda Chew Choon Eng-Chan Chong Ming masih kekal sebagai beregu utama negara dan naik satu anak tangga daripada ranking keenam, kepada kelima dunia.

Dua beregu Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto dan Tony Gunawan-Halim Hariyanto masing-masing terus unggul di tangga pertama dan kedua.

Beregu bermasalah, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah terus mengalami kejatuhan dengan jatuh dua anak tangga ke ranking ke-34 dunia untuk sekadar menjadi beregu nombor empat negara.

Pasangan Chang Kim Wai-Hong Chien Hun dan Jeremy Gan-Ng Kean Kok masing-masing menjadi beregu nombor dua dan tiga negara selepas mengekalkan ranking ke-23 dan ke-31 dunia.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bq0kiFxe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan