Khamis, 23 Mac 2017

Hafiz, Tsuen Seng perlu bersedia



ARKIB : 24/04/2002
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
DUA pendatang baru Piala Thomas, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng diminta bersiap sedia untuk beraksi sebagai perseorangan pertama atau kedua pada pusingan akhir di Guangzhou, bulan depan.

Walaupun berdasarkan ranking dunia dan rekod posisi itu menjadi milik dua pemain senior, Wong Choong Hann dan Ong Ewe Hock, perubahan mungkin berlaku bagi memenuhi tuntutan strategi.

Jurulatih perseorangan negara, Indra Gunawan berkata, potensi Hafiz dan Tsuen Seng untuk memikul cabaran tersebut sentiasa terbuka dan berharap kedua-dua pemain bekerja-keras untuk menyiapkan diri.

``Saya tidak akan teragak-agak untuk menurunkan Tsuen Seng atau Hafiz dalam mana-mana perlawanan, sekalipun perlawanan penting jika keadaan memerlukan,'' katanya selepas sesi latihan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam.

``Walaupun ini hanya penampilan pertama mereka, tidak bermakna mereka tidak boleh bermain sebagai perseorangan kedua atau pertama.

``Pada saya setiap pemain patut sudah bersedia untuk menerima apa jua cabaran sebaik nama mereka berada dalam skuad. Ini penting untuk strategi.''

Menurut Indra, tekanan beraksi pada kejohanan sulung tidak boleh dijadikan alasan untuk merehatkan pemain, tetapi pemain-pemain terbabit tidak semestinya mencatat keputusan baik dalam perlawanan itu.

Indra berkata, pengalamannya ketika membimbing Indonesia merangkul Piala Thomas 1994 membuktikan bahawa pendatang baru mampu menjadi tonggak utama yang membawa kepada kemenangan.

``Saya masih ingat pada Piala Thomas 1994 di Jakarta, Haryanto Arbi terpaksa turun sebagai perseorangan pertama dalam penampilan sulungnya kerana dia ketika itu adalah pemain nombor satu dunia.

``Dia amat gugup pada perlawanan awal, termasuk tewas kepada pemain tidak ternama Korea Selatan, tetapi saya tetap memaksanya bermain dalam baki perlawanan dan pada saingan akhir dia mengalahkan Rashid Sidek.''

Malaysia, yang ketika itu turun selaku juara bertahan terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir.

Sementara itu Indra amat berpuas hati dengan persiapan skuad negara yang disifatkan dalam keadaan terbaik dan bersedia.

Katanya, kebanyakan pemain negara menunjukkan semangat yang amat tinggi, biarpun terpaksa menjalani latihan keras menjelang kejohanan 9-19 Mei itu.

``Sekarang bukan masa untuk bersenang lenang dan setiap pemain diberi program yang ketat serta berat sepanjang tempoh persiapan.

``Bagi Roslin (Hashim) dan Hafiz, mereka diberi pilihan sama ada hendak mengikuti program kami atau meneruskan program yang sedia ada bersama Misbun (Sidek).''

Malaysia yang gagal melayakkan diri ke separuh akhir Piala Thomas di Kuala Lumpur dua tahun lalu, akan memulakan kempen menentang Jerman pada 10 Mei.

Perlawanan paling sengit dalam Kumpulan B adalah pertemuan dengan penyandang juara, Indonesia pada 12 Mei sebelum menentang Thailand dua hari kemudian.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c90ri7sb© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan