Selasa, 21 Mac 2017

Cabaran tunggal beregu utama



ARKIB : 09/03/2002
BIRMINGHAM, England - Beregu muda, Jeremy Gan-Ng Kean Kok menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England, semalam. Cabaran negara dalam acara perseorangan berakhir selepas pemain adik-beradik, Mohd. Roslin dan Muhammad Hafiz kandas pada pusingan ketiga.

Terdahulu, bekas pasangan utama Malaysia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah meneruskan siri kegagalan sejak kembali daripada kecederaan apabila tunduk 4-7, 7-3, 7-0, 1-7, 2-7 kepada beregu Indonesia, Eng Hian-Flandy Limpele. Kejayaan melangkah ke suku akhir pada kejohanan empat bintang yang menawarkan AS$125,000 (RM145,000) merupakan pencapaian terbaik Jeremy-Kean Kok, pilihan ketujuh kejohanan. Jeremy-Kean Kok bagaimanapun memerlukan 34 minit untuk menyingkirkan pasangan tidak ternama dari New Zealand, John Gordon-Daniel Shirley 3-7, 7-2, 7-2, 7-2.

Menanti mereka pada suku akhir hari ini adalah pilihan utama dari Indonesia, Sigit Budiarto-Candra Wijaya yang tidak menghadapi masalah mengetepikan Mathias Boe-Peter Steffensen dari Denmark 7-2, 7-1, 7-3.

Sementara itu Roslin, pilihan kesembilan yang mengalami kecederaan siku ketika beraksi pada pusingan kelayakan Piala Thomas dua minggu lalu terpaksa akur kepada pemain veteran China, Luo Yigang 8-6, 4-7, 0-7, 3-7.

Hafiz, 19, yang mencuri tumpuan selepas mengejutkan penyandang juara, Pulella Gopichand dari India pada pusingan kedua gagal menyaingi pemain muda China, 5-7, 7-8, 2-7.

Sebelum itu, cabaran pilihan pertama dan bekas juara, Xia Xuanze dari China tersekat selepas dia tewas kepada pemain Hong Kong kelahiran Indonesia, Ahus Hariyanto 7-5, 7-2, 2-7, 6-8, 7-8.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bxgTKPl9© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan