Ahad, 19 Mac 2017

Choong Hann no.3 dunia

ARKIB : 17/11/2001
TIGA pemain perseorangan lelaki negara yang diketuai oleh Wong Choong Hann berjaya menyertai kelompok 10 pemain terbaik dunia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), kelmarin.

Choong Hann yang sebelum ini menduduki tangga kelima, melonjak dua anak tangga ke nombor tiga dunia di belakang dua pemain China, Xia Xuanze yang masih menghuni kedudukan nombor satu dunia, diikuti Chen Hong di tempat kedua.

Roslin Hashim bagaimanapun kekal di tangga keempat dunia, manakala Ong Ewe Hock berjaya menempatkan diri sebagai pemin ke-10 dunia.

Dua lagi perseorangan lelaki negara, Lee Tsuen Seng dan Sairul Amar Ayob semakin menghampiri kelompok 10 pemain teratas dunia selepas masing-masing kini mengisi tempat ke-13 dan 14.

Bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen pula terus tersingkir daripada 10 pemain teratas dan sekadar menghuni tangga ke-11 keseluruhan.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming kekal di tangga kelima dunia, tetapi malang menimpa satu lagi pasangan negara yang jatuh sembilan anak tangga.

Pasangan Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah yang sebelum ini menghuni tangga ke-15 dunia, kini terpaksa berpuas hati di tempat ke-24 dunia, manakala gandingan Chang Kim Wai dan Hong Chien Hun pula di tangga ke-25.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bpMricTe
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan