Jumaat, 31 Mac 2017

Hanya Ong, Yeoh masih bertarung



ARKIB : 10/04/2003
HANYA dua pemain negara, Ong Ewe Hock dan Yeoh Kay Bin berjaya melepasi halangan dan mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Korea yang berlangsung di Stadium Tertutup Dowon, Incheon City, semalam.

Ewe Hock, pemain serpihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menyertai kejohanan itu atas tajaan Kia mara ke pusingan ketiga setelah mengetepikan cabaran Smith Andrew dari England 15-4, 15-12.

Pemain veteran berusia 30 tahun itu bagaimanapun bakal menghadapi cabaran sengit daripada Agus Hariyanto dari Hong Kong hari ini.

Agus, pemain kelahiran Indonesia mara selepas menewaskan pemain Belanda, Dicky Palyama 15-8, 15-8 semalam.

Kay Bin pula mara selepas menang mudah 15-0, 15-1 ke atas pemain Amerika Syarikat, Schoppe Dean.

Kay Bin juga dijangka menghadapi persaingan sengit apabila bertemu pemain tuan rumah, Park Tae Sang di pusingan ketiga hari ini.

Tae Sang melepasi pusingan kedua setelah menewaskan pemain utama Hong Kong, Ng Wei 15-11, 15-12.

Nasib berbeza bagaimanapun dihadapi oleh dua lagi pemain negara, Muhd. Roslin Hashim dan Ismail Saman. Roslin yang masih ketandusan kejuaraan sejak menjuarai Terbuka Switzerland dan Terbuka Jepun dua tahun lalu kecundang di tangan pemain pilihan pertama kejohanan, Kenneth Johassen dari Denmark.

Pemain berpengalaman Denmark itu menempah tiket ke pusingan ketiga setelah menang 15-10, 15-5 untuk bertemu pemain Jerman, Bjoem Joppien hari ini.

Seorang lagi pemain serpihan BAM yang ditaja oleh Kia, Ismail Saman juga gagal dalam misinya untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Ismail yang baru menjuarai Terbuka Selangor bulan lepas tersungkur di tangan pemain tuan rumah, Park Seong Hwang.

Seong Hwan bagaimanapun terpaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum berjaya menyingkirkan Ismail 15-10, 3-15, 15-2.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cssHrlRp© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan