Khamis, 23 Mac 2017

James tonjol keperkasaan



ARKIB : 02/07/2002
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
KETIKA perhatian peminat sukan tanah air tertumpu kepada kerancakan bola sepak Piala Dunia, yang akhirnya dimenangi oleh Brazil, pemain muda negara, James Chua mencuri tumpuan dengan muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, kelmarin.

James, 23, yang diketepikan daripada skuad Piala Thomas ke Guangzhou, Mei lalu bukan saja merangkul gelaran antarabangsa pertama, malah mengejutkan nama besar seperti Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng serta Ong Ewe Hock dalam laluan muncul juara.

Walaupun tidak adil untuk menilai keupayaan sebenar James hanya daripada satu kejohanan, namun tidak diragui naib juara Terbuka Switzerland 2002 dan juara pusingan akhir Grand Prix Kebangsaan itu adalah bintang dalam pembikinan seangkatan dengan Tsuen Seng dan Muhd. Hafiz Hashim.

Jika terus digilap dan mampu meningkatkan prestasi, pemain kelahiran Sarawak ini pastinya calon terbaik untuk membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia di Busan, Korea Selatan, Oktober ini.

Malah jurulatih perseorangan kebangsaan, Indra Gunawan sudah memberi jaminan kejayaan James melayakkannya diberi lebih banyak pendedahan dalam kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

``Saya amat gembira dengan kejayaan James, tambah menggembirakan kita tidak bergantung kepada pemain yang sama untuk memenangi sesuatu kejohanan,'' kata Indra, semalam.

``Saya tengok James sangat serius ketika latihan akhir-akhir ini. Semangatnya begitu tinggi, begitu juga disiplinnya. Sikap tidak berputus asa adalah kunci kejayaannya.''

Menurut Indra, keupayaan James akan terus diuji pada Terbuka Taiwan 16-21 Julai ini - yang turut disertai Ewe Hock, Ismail Saman dan Sairul Amar Ayob.

Sementara itu, Indra juga berpuas hati dengan keputusan keseluruhan pemain perseorangan negara yang menguasai tiga daripada empat tiket ke separuh akhir - James, Ewe Hock dan Tsuen Seng.

Malah, Malaysia turut memiliki wakil dalam perlawanan akhir menerusi pasangan bidan terjun, Choong Tan Fook-Chang Kim Wai yang mengejutkan beregu nombor satu dunia, Jens Erikson-Martin Lungaard Hansen dari Denmark pada separuh akhir.

Pasangan ini yang digandingkan buat kali pertama pada Piala Thomas lalu dan dipasangkan sekali lagi berikutan kecederaan Lee Wan Wah, bagaimanapun tewas 15-17, 3-15 kepada beregu China, Liu Yong- Chen Qiqiu dalam perlawanan akhir.

Terbuka Malaysia turut membuktikan, sama ada sistem mata 7x5 atau 15x3 yang digunakan, ia tidak memberi impak besar kepada pemain negara terutama perseorangan.

Sebaliknya, perubahan ini menjejaskan pemain-pemain China, yang diketuai pemain nombor satu dunia, Xia Xuanze, Chunlai dan Lin Dan yang kesemuanya gagal melangkah ke akhir.

Malah Denmark yang mewakilkan pemain veteran dan juara Eropah, Peter Rasmussen turut gagal memberikan tentangan terbaik.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cDWE32uC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan