Khamis, 23 Mac 2017

Saingan separuh akhir Piala Thomas - Singkir China bukan mustahil



ARKIB : 16/05/2002
Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
Guangzhou, China
Piala Thomas/Uber 2002
9 - 19 Mei
GUANGZHOU - Pasukan negara tidak mempunyai pilihan lain, kecuali mengerah kekuatan maksima untuk mengejutkan China dalam perlawanan separuh akhir Piala Thomas di Gimnasium Tianhe, hari ini.

Sekiranya rekod di atas kertas dijadikan ukuran, Malaysia bukan lawan China, yang membariskan empat perseorangan terbaik dunia diketuai pemain nombor satu dunia dan juara Asia, Xia Xuanze, juara remaja dunia dan Terbuka Denmark, Bao Chunlai (ranking ke-2), juara Terbuka Korea, Lin Dan (ke-3) dan juara Seluruh England, Chen Hong, yang berada di ranking kelima dunia.

Malah, China memenangi tujuh daripada 10 pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala Thomas sejak 1986, termasuk menang 4-1 dalam pertemuan terakhir pada peringkat kelayakan di Manila, 1998.

Melihat kepada persembahan terkini setiap pemain kemampuan Malaysia untuk mencuri mata sebenarnya hanya hadir menerusi acara beregu yang bakal menampilkan pasangan nombor satu dunia dan juara Terbuka Jepun, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng serta Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Walaupun turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Malaysia yang datang dengan berbekalkan semangat 1992 sebenarnya beraksi sebagai underdog dan memerlukan sedikit keajaiban untuk menumbangkan China di depan ribuan penyokong sendiri.

Setakat ini pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann menjalankan tanggungjawab dengan sempurna apabila mengutip mata pembukaan dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan B, termasuk meraih mata tunggal Malaysia ketika tewas 1-4 kepada Indonesia.

Bagaimanapun pemain nombor lima dunia itu, yang tidak pernah merangkul sebarang gelaran antarabangsa sejak menjuarai Sukan Komanwel 1998 memiliki rekod yang mengerikan dengan Xuanze, apabila kalah dalam kesemua enam pertemuan sejak 1999 dan menyulitkan peluang kita untuk mengutip mata pertama.

Sekiranya ketinggalan 0-1 Malaysia dijangka mampu bangkit menyamakan kedudukan 1-1 kerana mempunyai peluang yang lebih baik daripada acara beregu dengan pasangan Chong Ming-Choon Eng berkemungkinan bertemu Zhang Wei-Zhang Jun.

Rekod pertemuan memihak kepada pasangan negara 3-1, tetapi Chong Ming-Chew Eng gagal menumpaskan beregu pertama China itu dalam perlawanan di gelanggang mereka sendiri apabila tewas 7-1, 3-7, 4-7, 4-7 pada suku akhir Terbuka China, tahun lalu.

Ketua pasukan, Ong Ewe Hock yang belum mencapai prestasi sebenar dalam dua perlawanan Kumpulan B dijangka masih mendapat kepercayaan jurulatih, Indra Gunawan kerana pengalaman beraksi dalam lima Piala Thomas dianggap mampu memberi tekanan kepada pemain muda China, Lin Dan yang membuat penampilan pertama kejohanan.

Bekas pasangan utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang membuat penampilan pertama pada perlawanan menentang Thailand menjadi sandaran untuk mengutip mata daripada beregu kedua dan memiliki rekod 2-0 ke atas Cheng Rui-Wang Wei, termasuk menang 15-11, 15-8 pada pertemuan terakhir di Terbuka Belanda 1999.

China bagaimanapun memiliki keupayaan untuk mencuri mata daripada acara beregu jika menggunakan strategi yang sama ketika mengalahkan Korea Selatan kelmarin iaitu memecah kombinasi beregu dan menggandingkan Zhang Wei bersama Chen Qiqiu. Zhang-Chen berjaya mengejutkan Lee Dong Soo-Ha Tae Kwon 7-3, 4-7, 7-3, 7-1.

Perseorangan ketiga merupakan perlawanan genting sekiranya kedudukan terikat 2-2 dan Malaysia pasti tidak akan membuat perjudian dan hanya pemain berpengalaman akan diturunkan dengan Mohd. Roslin Hashim menjadi calon terbaik untuk berdepan China, yang berkemungkinan menurunkan Luo Yigang atau Lin Dan.

Roslin tidak memiliki rekod baik apabila tewas 1-2 kepada Yigang dan tumpas pada pertemuan terakhir di pusingan ketiga Seluruh England, Mac 2002. Pemain Nusa Mahsuri itu bagaimanapun tidak memiliki rekod pertemuan dengan Lin Dan.

Walaupun menundukkan China bukan tugas mudah, Malaysia pernah membuktikan Tembok China tidaklah begitu kebal dan mampu diruntuhkan jika setiap pemain menunjukkan prestasi terbaik dalam perlawanan genting hari ini, sekali gus menghampirkan diri dengan Piala Thomas keenam, yang terakhir dirangkul di Kuala Lumpur pada 1992. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cA86HOOY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan