Jumaat, 31 Mac 2017

Hafiz ungguli Cabaran Elit



ARKIB : 11/06/2003
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET

MUHAMMAD Hafiz Hashim muncul juara perseorangan lelaki badminton Cabaran Elit 2003 setelah memusnahkan rekod tanpa kalah abangnya Muhammad Roslin pada perlawanan terakhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

Hafiz, 20, membuktikan bahawa dia sudah bersedia membawa cabaran negara ke kejohanan dunia menerusi permainan mantap untuk menang straight set 15-11, 15-9 ke atas Roslin dan sekali gus mendapat wang poket RM2,000.

Roslin, 28, yang mendapat pujian daripada ketua jurulatih perseorangan Misbun Sidek atas kejayaan menumpaskan dua pemain negara ke kejohanan dunia, Wong Choong Hann dan Lee Tsuen Seng kelmarin terpaksa akur dengan permainan bertenaga Hafiz.

Dia meraih wang kemenangan RM1,000 selaku naib juara.

``Saya menganggap Roslin merupakan pemain yang paling unggul di kejohanan ini sebab berjaya menewaskan dua pemain pilihan semalam (kelmarin).

``Dia kelihatan penat hari ini (semalam) tetapi masih memberi tentangan kepada Hafiz,'' kata Misbun yang ditemui selepas perlawanan tersebut.

Menurut Hafiz, kemenangan itu meningkatkan keyakinannya terhadap persiapan ke kejohanan dunia.

``Saya kini memperoleh semula keyakinan yang pernah saya miliki ketika menjuarai Seluruh England Mac lepas.

``Walaupun begitu saya masih perlu memperbaiki beberapa kekurangan seperti ketahanan kaki, pemulihan selepas perlawanan dan kecergasan sebelum ke Birmingham nanti,'' katanya.

Hafiz mengakui dia terpaksa memastikan kemenangan semalam walaupun berdepan dengan abangnya bagi mengelakkannya menduduki tempat ketiga di pertandingan itu.

Kejayaan menewaskan abangnya merupakan yang pertama buat Hafiz yang sebelum ini tewas kepada Roslin di Terbuka Belanda tiga tahun lalu.

Sementara itu, Choong Hann menepati sasaran Misbun apabila menduduki tempat ketiga setelah menumpaskan Tsuen Seng 15-6, 15-9. Misbun meletakkan sasaran tiga tempat teratas kepada tiga pemainnya yang akan beraksi di kejohanan dunia.

Tsuen Seng yang tewas lima daripada sembilan perlawanan bagaimanapun jauh tersasar dan sekadar menduduki tempat keenam daripada 10 peserta senior yang mengambil bahagian.

Lee Chong Wei menduduki tempat keempat setelah memenangi enam daripada sembilan perlawanan sementara Yeoh Kay Bin kelima dengan memenangi lima pertemuan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cyfiOxx7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan