Selasa, 28 Mac 2017

Semuanya hasil kerja keras


 

ARKIB : 18/02/2003
MOHD. HAFIZ mengaku gementar sebelum turun ke gelanggang untuk menentang Chen Hong tetapi tekad yang tinggi menyaksikan dia menang perlawanan itu dengan keputusan 17-14, 15-10.

Oleh YURI AZHAR MAZLAN
PEMAIN badminton negara, Muhd. Hafiz Hashim menyifatkan kejayaannya menjuarai badminton Seluruh England berpunca daripada latihan keras dan bimbingan berharga daripada jurulatih.

Hafiz, 20, berkata, kejayaan bersejarah itu membuktikan pemain Malaysia mampu menguasai semula kejohanan tersebut dan mengembalikan era kecemerlangan sukan badminton negara sama sebagaimana tahun-tahun 50-an, 60-an dan 80-an.

``Antara faktor penting kejayaan saya ialah hasil tunjuk ajar dan nasihat jurulatih serta sokongan teguh daripada ahli keluarga dan penyokong sehingga saya merasa bertanggungjawab untuk membuktikan kepada dunia bahawa `Malaysia Boleh'.

``Selain itu, saya mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan menguasai perlawanan dengan melakukan pelbagai taktik untuk mendahului lawan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Birmingham, England, semalam.

Hafiz yang merupakan juara Sukan Komanwel menewaskan juara bertahan dari China, Chen Hong 17-14, 15-10 untuk menjadi pemain pertama negara menjuarai Seluruh England selepas Tan Aik Huang melakukannya pada tahun 1966.

Kata Hafiz, dia sendiri merasa gementar sebelum turun ke gelanggang tetapi merasa tenang selepas bermulanya perlawanan dengan meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan tersebut.

``Saya tahu ia adalah permainan sukar tetapi dengan semangat tidak mengalah, akhirnya saya mencapai kejayaan.

``Saya hadiahkan kemenangan ini kepada kesemua ahli keluarga dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada jurulatih Misbun Sidek kerana membentuk saya menjadi seorang juara,'' katanya yang berpendapat bahawa kejayaan itu lebih baik daripada Sukan Komanwel lalu.

Menurutnya, Misbun pernah memberitahunya bahawa Hafiz mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan itu sejak dari awal perlawanan lagi.

Hafiz memberitahu, Seluruh England adalah perlawanan yang sangat sukar kerana ia disertai pemain terbaik dunia.

Hafiz adalah pemain keempat negara yang menjuarai perseorangan Seluruh England. Sebelum ini, Wong Peng Soon memenanginya pada tahun 1950, 1952 dan 1955.

Datuk Eddy Chong pula menang sebanyak empat kali berturut-turut dari tahun 1953 hingga 1954 dan 1956 hingga 1957. Selepas Aik Huang menjuarainya pada 1966, tiada pemain negara berjaya mengulanginya sehinggalah detik bersejarah yang dicipta oleh Hafiz kelmarin.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ccSzzrQ2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan