Rabu, 29 Mac 2017

Ewe Hock ketuai cabaran `serpihan'

ARKIB : 12/03/2003
­ONG Ewe Hock akan mengetuai cabaran tiga pemain serpihan Persatuan Badminton MALAYSIA (BAM) beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Incheon, 8-13 April ini.

Ia merupakan kejohanan antarabangsa kedua bagi pemain itu dan juga Sairul Amar Ayob serta Ismail Saman sejak tersingkir daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Penyertaan ketiga-tiga pemain itu di Terbuka Jepun dan Terbuka Korea dibiayai oleh Naza Kia Sdn. Bhd. yang juga telah mengesahkan penajaan mereka untuk kejohanan tempatan bagi kumpulan tersebut.

BAM pula hanya menghantar dua pemain perseorangan mereka, James Chua dan Lee Chong Wei ke kejohanan lima bintang itu sementara Nusa Mahsuri menyenaraikan Muhd. Hafiz Hashim dan abangnya, Muhd. Roslin.

Selain daripada itu, Yong Hock Kin yang mara ke peringkat suku akhir kejohanan Seluruh England bulan lepas turut menyertai kejohanan itu dengan biaya sendiri.

Minggu lepas, empat pemain serpihan ini - Ewe Hock, Ng Kean Kok, Allan Tai dan Ismail mencuri tumpuan apabila berjaya menewaskan beberapa pemain kebangsaan untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Selangor di Kampung Attap, KUALA LUMPUR.

Malah, Ismail muncul juara sementara Allan naib juara acara perseorangan lelaki bersama-sama Kean Kok-Ewe Hock dalam acara beregu lelaki.

Kumpulan itu yang kini berlatih bersendirian berharap untuk memberi yang terbaik pada kejohanan bernilai AS$200,000 (RM760,000).

``Saya tidak dapat menjanjikan sasaran yang tinggi kerana ini (Terbuka Jepun dan Terbuka Korea) merupakan kejohanan pertama yang saya sertai setelah digantung oleh BAM sejak November lalu.

``Saya dan rakan-rakan berharap untuk memberi yang terbaik walaupun berlatih tanpa bimbingan jurulatih,'' katanya yang dihubungi selepas mengadakan perlawanan persahabatan bersama pemain kebangsaan bawah 18 tahun Thailand di Balakong, semalam.

BAM, pada Januari lalu telah menggantung Ewe Hock selama tiga bulan bermula November lepas atas alasan disiplin kerana membantah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Kehormat badan induk itu, Zolkples Embong.

SENARAI PEMAIN

KE TERBUKA KOREA

Perseorangan lelaki: James Chua, Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Muhammad Roslin Hashim, Yong Hock Kin, Ong Ewe Hock, Sairul Amar Ayob dan Ismail Saman.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ciknyXYS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan