Khamis, 23 Mac 2017

Maafkan saya - Roslin - Kegagalan Malaysia menjulang Piala Thomas



ARKIB : 20/05/2002
 
BARISAN pemain badminton Indonesia ceria ketika Taufik Hidayat menjulang Piala Thomas selepas menewaskan Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir di Gimnasium Tianhe, Ghuanzhou, China, semalam. - Gambar AFP.

GUANGZHOU - Mohd. Roslin Hashim menafikan tekanan yang terlalu tinggi menyebabkan dia bermain buruk ketika tewas 7-8, 2-7, 1-7 kepada Hendrawan, sekali gus menafikan hajat Malaysia untuk merangkul Piala Thomas selepas 10 tahun.

Roslin menegaskan, dia sudah memberikan yang terbaik namun lawannya bermain dengan baik menyebabkan permainannya tidak menjadi terutama pada dua set terakhir.

``Saya sudah mengeluarkan semuanya, apa yang anda lihat tadi itulah yang terbaik daripada saya,'' katanya.

``Bukan soal tertekan, saya memang sudah sedia untuk menghadapi perlawanan ini. Sebelum perlawanan saya sudah mengingatkan diri sendiri supaya memberi tumpuan kepada perlawanan, tetapi dia (Hendrawan) juga sudah amat bersedia untuk berdepan dengan saya.

``Saya minta maaf kerana kekalahan saya menyebabkan kita terlepas Piala Thomas ketika ia sudah begitu hampir. Saya tidak main-main...saya juga seperti rakan-rakan yang lain beraksi bersungguh-sungguh sehingga ke titisan terakhir.''

Begitupun jurulatihnya, Misbun Sidek mempunyai pandangan berbeza mengenai permainan anak buahnya itu, kata Misbun Roslin bermain di luar kemampuan sebenar kerana terpengaruh dengan tekanan dan pengharapan yang terlalu tinggi sebagai perseorangan ketiga.

Katanya, Roslin terlalu banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dan gagal mengambil bola mudah, sesuatu yang jarang dilakukan pemain itu jika bermain di bawah permainan sebenar.

``Kebiasaannya dia akan memberikan tindak balas setiap kali tamat satu set, tetapi hari ini dia tidak banyak bercakap dengan saya dan hanya mendiamkan diri apabila saya cuba memberitahu apa yang tidak kena dengan permainannya.

``Saya tahu dia bukan Roslin Hashim yang sebenar ketika melangkah ke set kedua. Tekanan terlalu tinggi kerana dia tahu jika dia kalah, pasukan akan kalah jadi dia tidak mempunyai pilihan kecuali menang.''

Dengan kekalahan terbaru ini, Hendrawan kini melebarkan rekod kemenangan kepada 3-1, selepas memenangi dua pertemuan terdahulu di separuh akhir Terbuka Jepun 2000 serta suku akhir Sukan Asia 1998. Kemenangan tunggal Roslin dicapai pada peringkat kumpulan di Grand Prix Dunia Akhir 2000, Brunei. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCEn7HHT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan