Sabtu, 25 Mac 2017

Kontrak Joo-bong dengan BAM tidak disambung - Sukan Asia tugas terakhir



ARKIB : 11/09/2002
SUKAN Asia di Busan hujung bulan ini akan menjadi tugas besar terakhir buat jurulatih beregu negara, Park Joo-bong selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyambung kontraknya yang tamat pada 31 Disember ini.

BAM yang sebelum ini berkata akan mengumumkan kedudukan jurulatih dari Korea Selatan itu selepas Sukan Asia XIV pada 29 September hingga 14 Oktober ini, bagaimanapun mengambil keputusan lebih awal semalam.

``Pada awalnya kita bercadang untuk mengumumkan perkara ini selepas Sukan Asia kerana tidak mahu menjejaskan tumpuan beliau, tetapi Joo-bong meminta perkara ini dipercepatkan,'' kata Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples Embong semalam.

``Keputusan ini dicapai dalam suasana yang baik. Malah Joo-bong sendiri tidak mahu kontrak itu disambung atas masalah keluarga,'' katanya lagi.

Menurut Zolpkles, dengan keputusan itu, kontrak Joo-bong, yang menyertai Malaysia pada Oktober, 1999 akan berakhir bermula pada Januari, 2003.

Katanya lagi, calon pengganti Joo-bong belum dikenal pasti, namun beliau memberi jaminan ia akan diketahui sebelum dua kejohanan besar tahun depan - Kejohanan Dunia dan Sukan SEA.

Kecuali Sukan Komanwel dan Terbuka Jepun 2002, Joo-bong gagal meraih gelaran antarabangsa sejak membimbing pemain negara pada 1999.

Malah, kredibiliti bekas juara Sukan Olimpik itu dipersoalkan kerana kegagalannya melakukan percaturan yang baik pada beberapa kejohanan berpasukan.

Joo-bong menjadi tumpuan kritikan kerana memecah beregu utama, Chan Chong Ming-Chew Choong Eng pada perlawanan genting menentang England di Manchester, bulan lalu.

Keputusannya menggandingkan Chong Ming-Choong Tan Fook menyebabkan pasangan negara itu tewas, sekaligus menyaksikan Malaysia tersingkir daripada perlawanan separuh akhir.

Itu adalah kesilapan besar kedua dilakukan oleh Joo-bong. Beliau turut memecahkan Chong Ming-Chew Eng pada peringkat kumpulan Piala Thomas menentang Indonesia di Guangzhou, Mei lalu dan ia turut dipersoalkan.

Malah, anak-anak buah Joo-bong turut dikritik dan dikatakan punca kekalahan 3-2 Malaysia kepada Indonesia dalam perlawanan akhir selepas Tan Fook-Lee Wan Wah tewas kepada gandingan bidang terjun Indonesia, Halim Haryanto-Trikus Aryanto.

Sementara itu mengulas status jurulatih perseorangan, Indra Gunawan, Zolkples berkata, kedudukan Indra akan ditentukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas Sukan Asia.

``Belum ada sebarang keputusan dibuat tentang Indra kerana kontraknya adalah di bawah MSN. Tetapi apa yang dapat saya katakan, kami berpuas hati dengan prestasinya.''

Jurulatih dari Indonesia itu yang menyertai Malaysia pada Februari, 2001 berjaya meraih beberapa gelaran antarabangsa, malah Indra turut mengetengahkan jaguh muda seperti Lee Tsuen Seng, James Chua dan Sairul Amar Ayob.

Kontrak Indra, yang pernah dipancing semula oleh Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) akan tamat pada Februari, 2003.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cKga5eDH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan