Khamis, 30 Mac 2017

Badminton Terbuka Korea - Hafiz kecundang awal



ARKIB : 09/04/2003
JUARA kejohanan badminton Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim mempamerkan prestasi mengecewakan apabila tewas kepada pemain tidak ternama, Hadikusumo Wiratama dari Hong Kong pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Stadium Tertutup Dowon, Incheon City semalam.

Kekalahan di pusingan awal itu merupakan yang kedua berturut-turut bagi pemain kelahiran Kelantan tersebut setelah tewas kepada Chen Yu dari China 9-15, 15-7, 15-8 di pusingan kedua pada Terbuka Jepun, minggu lepas.

Hafiz yang menjadi wira negara setelah menamatkan penantian 37 tahun untuk menyaksikan pemain perseorangan Malaysia menjuarai kejohanan berprestij Seluruh England tersingkir setelah tewas pada perlawanan rubber set.

Persediaan Hafiz bagi memburu gelaran juara dunia kini menjadi tanda tanya apabila pemain berusia 20 tahun itu sekadar menang 15-10 pada set pertama tetapi gagal menyekat kebangkitan Hadikusumo yang menang 15-9, 15-8 pada dua set berikutnya.

Selain daripada Hafiz, empat lagi pemain perseorangan Malaysia, Lee Chong Wei dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Yong Hock Kin, Sairul Amar Ayob dan Pei Chung yang membiayai sendiri penyertaan mereka di kejohanan itu turut tersingkir.

Sementara itu, pemain veteran yang disingkirkan, Ong Ewe Hock membuat permulaan yang baik apabila mengetepikan juara dunia, Hendrawan dari Indonesia di pusingan pertama.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menang 15-8, 15-3 untuk menempah pertemuan dengan Smith Andrew dari England di pusingan kedua.

Juara Terbuka Selangor, Ismail Saman turut mara setelah menewaskan pemain Jepun, Tooru Matsumoto 15-10, 10-15, 15-4.

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu yang kini berusaha untuk membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa itu akan bertemu pemain tuan rumah, Park Seong Hwan di pusingan kedua hari ini.

Kegagalan Hafiz melepasi pusingan pertama ditebus oleh abangnya, Muhd. Roslin Hashim yang menang mudah 15-8, 15-3 ke atas pemain bukan pilihan, Huang Chien Jun dari Taiwan.

Bekas juara Terbuka Jepun itu bagaimanapun akan bertemu pemain pilihan pertama kejohanan, Kenneth Jonassen dari Denmark yang mara ke separuh akhir terbuka Jepun minggu lepas.

Jonassen juga menang mudah 15-1, 15-1 ke atas pemain Filipina, Arolas Amahit untuk mara ke pusingan kedua.

Seorang lagi pemain BAM, Yeoh Kay Bin turut melepasi pusingan pertama setelah menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Heo Hoon Hoi 12-15, 15-11, 15-4 untuk bertemu Schoppe Dean dari Amerika Syarikat.

Malaysia hanya menghantar pemain perseorangan ke Terbuka Korea, pertandingan terakhir sebelum kejohanan dunia di Birmingham bulan depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cpELFaLc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan