Jumaat, 24 Mac 2017

Hafiz perlu berdikari - Indra



ARKIB : 11/07/2002
 
PEMAIN kelab badminton Nusa Mahsuri, Muhd. Hafiz Hashim terpaksa berdikari pada Sukan Komanwel yang akan berlangsung di Manchester bermula 25 Julai ini setelah hanya seorang jurulatih perseorangan dihantar ke temasya tersebut.

Berdasarkan senarai peserta kontinjen ke Sukan Komanwel, penasihat badminton negara, Indra Gunawan merupakan jurulatih tunggal mengendalikan pemain perseorangan negara.

Skuad badminton bagaimanapun memikul tugas berat untuk menyumbang sekurang-kurangnya dua pingat emas pada temasya kali ini. Badminton menyumbang tiga pingat emas pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

Hafiz sebelum ini sering ditemani samada jurulatihnya, Misbun Sidek atau bekas pemain utama negara, Rashid Sidek dalam sebarang kejohanan yang disertai.

Dia yang kini menjalani latihan gelanggang bersama-sama pemain BAM mengakui ketiadaan jurulatih menyebabkannya terpaksa berdikari.

Adik kepada bekas juara Terbuka Jepun, Roslin Hashim itu bagaimanapun yakin Indra akan dapat membantunya sepanjang pertandingan tersebut.

``Ini kali pertama saya turun tanpa jurulatih. Tetapi saya rasa mampu menghadapinya kerana saya menyimpan dan masih mengikuti program latihan jurulatih saya (Misbun),'' katanya di Majlis Sukan Negara (MSN) setelah menjalani latihan, semalam.

Menurut Hafiz, dia akan cuba sedaya-upaya untuk mengikuti arahan yang diberi oleh Indra sepanjang latihan dan pertandingan yang berlangsung.

Namun, dia tetap berharap, Misbun akan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa kerana mengakui dia akan menghubungi `gurunya' itu jika terdapat kemusykilan.

Sementara itu, Indra yang ditemui berpendapat Hafiz seharusnya ditemani oleh jurulatih yang biasa mengendalikan pemain itu.

``Saya tidak mempunyai masalah untuk membantunya tetapi yang paling baik dan sesuai untuk pemain adalah arahan dan tunjuk ajar daripada jurulatih yang biasa bersamanya,'' kata Indra.

Indra menambah, beliau akan membiarkan Hafiz meneruskan program latihan yang biasa dijalani oleh pemain itu agar tidak menjejaskan prestasinya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cE7FieGY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan