Ahad, 19 Mac 2017

Jurulatih sedih pemain berhenti

ARKIB : 02/11/2001
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akur dengan keputusan dua pemain wanita, Joanne Quay dan Chor Hooi Yee untuk bersara daripada sukan badminton tanah air.

Ketua jurulatih beregu, Park Joo-bong berkata, setelah berbincang dengan Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh, mereka akhirnya bersetuju menerima permohonan berhenti daripada kedua-dua pemain.

``Mereka berhenti atas alasan yang boleh diterima. Memang saya sedih dengan keputusan pemain-pemain ini untuk berhenti, tetapi Hooi Yee memberi alasan masalah kesihatan sementara Joanne pula mahu melanjutkan pelajaran.

``Mereka mempunyai alasan tersendiri untuk keputusan masing-masing dan kami mengambil keputusan menerima permohonan mereka ini,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan keputusan rasmi BAM mengenai permohonan kedua-dua pemain untuk keluar daripada skuad kebangsaan.

Hooi Yee yang tidak menyertai sepenuhnya program latihan sejak menjalani rawatan apendiks awal tahun ini menghantar surat permohonan berhenti kepada jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit, Isnin lepas sementara Joanne sehari selepas itu.

Kedua-dua pemain dilihat berbincang dengan Joo-bong kelmarin untuk memberi gambaran sebenar mereka membuat keputusan itu.

Menurut Joo-bong, setelah menjalani latihan sebagai pemain sejak lapan tahun lalu, kedua-dua pemain mungkin merasakan sudah tiba masanya untuk mereka mencari haluan lain.

Sementara itu, Joanne yang dihubungi berkata, dia tidak menyesal dengan keputusannya untuk menggantung reket walaupun baru berusia 21 tahun.

``Saya telah membuat keputusan dan saya tidak akan kembali menyertai skuad kebangsaan walaupun badminton sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya selama ini.

``Saya mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai pelajar tetapi ia tidak menjadi masalah,'' katanya.

Joanne akan melanjutkan pelajarannya dalam bidang teknologi maklumat di sebuah institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur Januari ini.

Menurut Joanne, dia akan menggunakan tempoh kira-kira dua bulan yang ada ini untuk berehat sebelum memulakan pengajian.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bmtrkBRD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan