Sabtu, 25 Mac 2017

Cabaran Hafiz berakhir



ARKIB : 16/11/2002
CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) berakhir semalam selepas wakil tunggal negara, Muhammad Hafiz Hashim tersingkir pada suku akhir perseorangan lelaki di Gimnasium Nimibutr, Bangkok.

Selepas menundukkan pemain Indonesia, Rony Agustinus dalam pusingan ketiga kelmarin, juara Sukan Komanwel, Hafiz, 20, tunduk kepada penyandang juara, Xia Xuanze dari China 9-15, 10-15.

Kekalahan pemain Nusa Mahsuri itu sekaligus menamatkan cabaran pemain Malaysia pada kejohanan ABC 2002 selepas kelmarin semua wakilnya terkeluar pada pusingan ketiga.

Sementara itu China dan Indonesia menguasai sepenuhnya pentas separuh akhir dengan masing-masing mempunyai dua wakil dengan kemaraan Xia, pemain nombor satu dunia, Chen Hong, Taufik Hidayat serta Sony Dwi Kuncoro.

Pilihan pertama dan juara Asia 2000, Chen Hong menyingkirkan Budi Santoso dari Indonesia 15-12, 15-12 untuk menempah pertemuan dengan bintang muda Indonesia, Sony.

Sony mara selepas menumpaskan Ng Wei dari Hong Kong 15-3, 15-3, manakala Taufik pula akan bertemu Xia selepas mengalahkan naib juara Terbuka Singapura, Ronald Susilo dari Singapura 15-3, 15-12.

SUMBER=Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cOyp42Of
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan