Khamis, 23 Mac 2017

Choong Hann perlu penumpuan maksimum



ARKIB : 26/04/2002
DUA minggu sebelum pusingan akhir badminton Piala Thomas bermula adalah tempoh genting buat pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann, yang mengakui tumpuannya untuk menghadapi kejohanan 9-19 Mei itu masih kurang.

Menurut Choong Hann, tahap permainannya masih belum mencapai 100 peratus dan keadaan itu mampu menjejaskan permainannya di Guangzhou jika tidak diperbaiki segera.

``Selepas perlawanan simulasi semalam saya dapati permainan saya masih tidak begitu baik,'' kata pemain nombor lima dunia itu.

``Sebenarnya ia bukan masalah permainan, tetapi tumpuan saya masih tidak ada sepenuhnya. Harap dalam masa dua minggu ini saya berjaya meningkatkan perhatian dan semangat, saya akan bekerja-keras.''

Choong Hann menafikan beraksi sebagai perseorangan pertama memberikan tekanan tambahan kepadanya kerana bertanggungjawab mengutip mata pembukaan.

Katanya, ini bukan pengalaman pertamanya berada di posisi tersebut, malah dia pernah memikul cabaran itu pada Piala Thomas di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

``Pengalaman banyak mengajar saya dan saya lebih bijak mengawal tekanan berbanding dua tahun lalu. Saya tidak fikir ia memberi apa-apa kesan.

``Apa pun, saya perlu memastikan keadaan saya benar-benar bersedia sebelum memulakan cabaran, saya tidak mahu setakat 60 atau 70 pera-tus, ia mesti lebih daripada itu.''

Sementara itu Choong Hann berkata, dia telah bersiap sedia jika diperlukan dalam acara beregu, sekalipun ia bukan keutamaannya.

Katanya lagi, walaupun dia berharap untuk tidak diberikan dua tugas, namun dia tidak menganggap perkara itu sebagai satu beban jika masih terpaksa melakukannya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c95Omzl8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan