Jumaat, 31 Mac 2017

Dua kekalahan awal di Jepun dan Korea - Saya amat tertekan - Hafiz



ARKIB : 12/04/2003
Oleh DALLIA DUNSTAN

JUARA badminton Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim menyifatkan tekanan yang tinggi menjadi penyebab utama kegagalannya untuk melepasi pusingan awal pada Terbuka Jepun dan Korea baru-baru ini.

Hafiz, 20, berkata, walaupun berasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam dua kejuaraan itu dia tetap menerimanya dan menganggap ia sebagai pengajaran berguna.

Katanya, sepanjang kariernya selaku pemain, inilah kali pertama dia berdepan dengan tekanan yang begitu tinggi sehingga memberi kesan terhadap permainannya.

``Saya pernah tertekan dalam beberapa kejohanan lain tetapi sejak bergelar juara pada kejohanan Seluruh England, ia mencetuskan rasa yang lebih buruk ketika menghadapi kejohanan di Jepun dan Korea.

``Selaku juara, semua orang berusaha untuk mengalahkan saya,'' kata Hafiz, yang muncul juara Seluruh England selepas tempoh 37 tahun, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa yang sama, Hafiz berkata, hanya disebabkan kejayaan di Birmingham itu, semua peminat sukan meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat dia meneruskan kecemerlangan.

Sekembalinya dari Korea, Hafiz kini sedang berehat dan akan memulakan sesi latihan Isnin ini untuk memberi tumpuan kepada cabaran berikutnya pada Kejohanan Dunia di Birmingham yang dijadual berlangsung 12 hingga 18 Mei ini.

Pemain berasal dari Kelantan itu tewas kepada pemain China, Chen Yu pada pusingan kedua Terbuka Jepun minggu lalu. Selasa lalu, dia tewas kepada pemain tidak ternama, Yohan Hadikusumo Wiratama dari Hong Kong pada pusingan pertama Terbuka Korea.

Hafiz berkata, disebalik kekalahan itu dia lega kerana tekanan sudah mulai berkurangan.

Keadaan itu kata Hafiz memudahkannya untuk memberi tumpuan kepada kejohanan di Birmingham.

``Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa tetapi percayalah, saya akan berusaha untuk bangkit daripada dua kekecewaan itu,'' kata Hafiz.

Menurutnya lagi, jika dia ditakdirkan bergelar juara dalam satu daripada dua kejohanan itu sudah pasti tekanan masih menebal dan dia bakal berdepan dengan masalah yang serupa pada kejohanan dunia.

Pemain yang bernaung di bawah kelab profesional Nusa Mahsuri itu berkata, dia mahu segera melupakan kegagalannya dalam dua kejohanan itu.

``Cukuplah dengan kekecewaan di Jepun dan Korea. Kalau boleh saya mahu bertanding di Birmingham sebagai underdog. Saya tidak mahu orang atau pemain lain melihat saya sebagai juara Seluruh England,'' kata Hafiz, yang juga juara Sukan Komanwel di Manchester tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya di Jepun, Hafiz berkata dia memang berasa begitu yakin sebelum melangkah ke gelanggang tetapi sejurus berada di tengah gelanggang, keadaan mula berubah.

``Ketika di Korea, saya tewas kepada pemain kurang ternama kerana saya berasa tertekan dan terbawa-bawa dengan kekalahan yang dialami di Jepun sebelum itu,'' katanya.

Mengenai persiapannya ke kejohanan dunia, Hafiz berkata dia akan berusaha meningkatkan lagi intensiti latihannya.

Hafiz juga berkata, dia akan bermain sebaik mungkin untuk kejohanan dunia dan akan berusaha meningkatkan tahap permainan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4csxE4oxu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan