Khamis, 23 Mac 2017

Kejayaan pasukan bidan terjun bukan kerana nasib



ARKIB : 05/07/2002
KEJAYAAN pasangan bidan terjun Choong Tan Fook-Chan Kim Wai mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia sememangnya berdasarkan kemampuan sebenar dan bukannya nasib.

Ketua jurulatih beregu negara, Park Joo-bong berkata, pencapaian gandingan baru itu semenangnya telah ditunjukkan semasa sesi latihan, dua minggu sebelum kejohanan itu.

``Apa yang ditunjukkan di kejohanan itu memang prestasi sebenar mereka, malah pasangan ini telah menewaskan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng sebanyak dua kali dan kalah sekali,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai prestasi Tan Fook-Kim Wai yang membuat kejutan dengan menumpaskan dua beregu berpengalaman Denmark di suku akhir dan separuh akhir kejohanan lima bintang itu di Pulau Pinang minggu lepas.

Beliau bagaimanapun mengakui masih belum dapat memberi harapan tinggi kepada pasangan itu pada Sukan Komanwel Manchester bulan ini kerana beregu itu hanya diuji dalam pertandingan yang menggunakan sistem 15 mata.

``Sukan Komanwel menggunakan sistem tujuh mata (7x5 set). Mereka masih belum berlatih menggunakan sistem ini kerana sejak digandingkan dua minggu sebelum Terbuka Malaysia lepas, mereka terus berlatih menggunakan sistem lama.

``Kini saya perlu memberi penekanan latihan menggunakan sistem tujuh mata semula dan berharap pasangan ini dapat mengekalkan prestasi seperti yang ditunjukkan di Terbuka Malaysia,'' ujarnya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran meraih dua pingat emas pada Sukan Komanwel Manchester ini dengan harapan pemain perseorangan dan beregu lelaki melaksanakan tugas itu.

Sasaran itu kurang daripada pencapaian tiga pingat emas dan empat pingat perak yang diperoleh pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur empat tahun lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cDeZW5vp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan