Rabu, 22 Mac 2017

Hafiz layak ke suku akhir



ARKIB : 05/04/2002

TOKYO - Muhd. Hafiz Hashim mencerahkan peluangnya untuk mendapat tempat dalam skuad Piala Thomas dengan muncul wakil tunggal Malaysia pada suku akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, semalam.

Turut melangkah ke suku akhir adalah pasangan utama negara, Chan Chong Min-Chew Choon Eng dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Abang Hafiz, Mohd. Roslin Hashim pula terpaksa melepaskan kejuaraannya selepas tunduk 7-4, 7-0, 7-4 kepada pemain nombor satu dunia, Xia Xuanze dari China.

Hafiz memberi tentangan sengit kepada juara Seluruh England dan pemain nombor dua dunia, Chen Hong dalam empat set pertama dengan kedua-dua pemain terikat 2-2, sebelum Chen terpaksa menarik diri akibat kecederaan kaki kanan.

Tewas 4-7 pada set pembukaan, Hafiz bangkit memenangi set kedua 7-2, sebelum tewas 0-7 dan menang 7-2 pada set keempat. Pemain Nusa Mahsuri itu sedang mendahului 6-4 ketika Chen menarik diri.

Menantinya pada saingan suku akhir hari ini adalah pemain nombor satu Korea, Lee Hyun Il yang mengalahkan pemain veteran China, Luo Yigang 7-5, 7-1, 3-7, 2-7, 7-5.

Sementara itu Chong Ming-Choon Eng, pilihan kedua tidak menghadapi masalah mengetepikan beregu Thailand, Khunakorn Sudhisodhi-Patapol Ngernsrisuk 7-2, 7-2, 7-4 dan akan bertemu beregu China, Cheng Rui-Wang Wei.

Bekas beregu utama negara, Tan Fook-Wan Wah pula terus mempamer aksi meyakinkan menjelang pusingan akhir Piala Thomas di Guangzhou apabila menundukkan Reony Mainaky-Hermono Yuwono dari Indonesia 7-3, 7-2, 7-5.

Begitupun pasangan negara itu akan berdepan beregu sedang meningkat, Liu Kwok-wa-Albertus Susanto Njoto dari Hong Kong yang mengejutkan pilihan utama, Candra Wijaya-Sigit Budiarto dari Indonesia 7-4, 2-7, 7-5, 7-5.

Beregu muda negara, Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun pula gagal meneruskan cabaran biarpun memberi tentangan sengit kepada pasangan handalan Korea Selatan, Lee Dong-Soo-Yoo Yong-Sung. Kim Wai-Chieng Hun tewas 7-3, 8-6, 6-8, 7-5.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c4GMgRB1© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan