Khamis, 23 Mac 2017

Badminton Piala Thomas - Malaysia bermula cemerlang



ARKIB : 11/05/2002
MUHAMMAD Hafiz membalas hantaran pemain Jerman, Jens Roch pada perlawanan pertama peringkat kumpulan B, kejohanan badminton Piala Thomas 2002 di Guangzhou, China, semalam. Hafiz menang 7-2, 7-0, 7-4. - Gambar Bernama.

Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
Guangzhou, China
Piala Thomas/Uber 2002
9 - 19 Mei
GUANGZHOU - Malaysia yang menampilkan empat muka baru memulakan kempen Piala Thomas dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan 5-0 ke atas Jerman untuk mengetuai Kumpulan B di Gimnasium Tianhe, semalam.

Lebih menggembirakan, kesemua kemenangan tersebut dicatat menerusi keputusan straight-set dan sekaligus mencerahkan peluang pasukan negara untuk melangkah ke separuh akhir.

Empat pendatang baru Piala Thomas, Muhammad Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng dan beregu Chew Choon Eng serta Chang Kim Wai tidak menunjukkan rasa gementar ketika turun buat kali pertama di gelanggang Piala Thomas.

Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann meniupkan semangat rakan sepasukan apabila menyumbangkan mata pertama Malaysia dengan menundukkan pemain nombor 17 dunia, Bjoern Joppien 7-4, 7-5, 7-3.

Juara Terbuka Jepun, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng membuktikan keunggulan mereka sebagai beregu nombor satu dunia apabila tidak menghadapi masalah menewaskan beregu utama Jerman, Kristof Hopp-Thomas Tesche 7-1, 7-4, 7-4.

Hafiz, 20, yang dipertanggungjawabkan memikul cabaran perseorangan kedua pada penampilan sulung Piala Thomas membalas kepercayaan itu dengan menundukkan pemain berpengalaman Jerman, Jens Roch 7-1, 7-4, 7-3 untuk mengutip mata kemenangan Malaysia.

Gandingan baru, Choong Tan Fook-Chang Kim Wai juga tidak mengecewakan apabila meraih mata keempat dengan menumpaskan Jochen Cassel-Joachim Tesche, bagaimanapun gandingan baru itu dipaksa berhempas pulas pada set pembukaan sebelum menang 8-6. Dua set berikutnya lebih mudah buat pasangan negara yang menang 8-6, 7-1, 7-3.

Naib juara Terbuka Indonesia, Tsuen Seng memastikan Malaysia mengutip mata maksima daripada perlawanan pertama apabila langsung tidak diberi tentangan ketika mengalahkan perseorangan ketiga Jerman, Oliver Pongratz 7-0, 7-1, 7-0 dalam perlawanan yang berlangsung tidak sampai 15 minit.

`'Walaupun agak gemuruh sebelum turun ke gelanggang, saya gembira kerana berjaya juga menyumbangkan mata kemenangan buat Malaysia,'' kata Hafiz, pemain ranking ke-11 dunia.

Persembahan Choong Hann yang membuat penampilan ketiga Piala Thomas di set pertama agak kurang kemas termasuk ketinggalan dua kali, 0-1 dan 3-4 kepada Joppien dan kerap melakukan pukulan yang jauh, sebelum menang 7-4.

Pemain nombor lima dunia itu hampir diheret ke permainan deuce pada set kedua, tetapi bernasib baik mencatat kemenangan 7-5 walaupun kedudukan terikat 5-5. Set terakhir lebih kemas apabila Choong Hann mendahului 4-0 dan menang 7-3.

Sementara itu, Hafiz ketinggalan 0-2 pada set pertama tetapi mengetepikan rasa gementarnya untuk bangkit memenangi set tersebut 7-2. Set kedua lebih mudah dengan dia hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk mencatat kemenangan 7-0, tetapi melepaskan empat mata pada set terakhir ketika menang 7-4.

Kim Wai yang mengambil alih tempat Lee Wan Wah dalam perlawanan pertama negara, sedikit gemuruh dalam perlawanan pertama dan dipaksa berhempas pulas sebelum menang 8-6 dalam masa hampir 20 minit.

Begitupun, beregu kedua negara itu mempamer aksi lebih meyakinkan pada set kedua dan ketiga untuk menang mudah 7-1, 7-3.

Cabaran sebenar Malaysia dalam perlawanan Kumpulan B adalah menentang Indonesia, esok. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c9hNvSaR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan