Isnin, 27 Mac 2017

Hafiz, Roslin belum dapat penyesuaian

ARKIB : 04/02/2003
DUA pemain Nusa Mahsuri, Muhd. Roslin Hashim dan Muhd Hafiz Hashim masih belum dapat menyesuaikan diri dengan latihan bersama skuad kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara walaupun telah memasuki bulan kedua.

Ketua jurulatih badminton negara, Misbun Sidek mengakui ketika ini kedua-dua pemain itu merasa kehilangan kerana mereka tidak lagi mendapat perhatian sepenuhnya daripada beliau.

``Saya tidak berpuas hati dengan latihan yang dijalankan oleh kedua-dua pemain ini. Mereka seolah-olah kehilangan, tidak tahu apa yang harus dibuat semasa latihan.

``Mungkin mereka masih belum dapat menyesuaikan diri dengan program latihan di sini kerana saya tidak lagi boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada mereka.

``Saya memberi perhatian yang adil kepada semua pemain dari Nusa Mahsuri mahupun BAM,'' katanya yang ditemui selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Menurut Misbun, kedua-dua anak didiknya itu perlu berusaha sendiri untuk menambahkan latihan seperti dulu dan tidak terlalu bergantung kepada arahannya.

``Jika mereka merasakan latihan di stadium ini tidak cukup, mereka boleh pergi ke Nusa Mahsuri untuk menambahkan latihan seperti dulu.

``Mereka masih beruntung berbanding pemain BAM yang hanya berpeluang berlatih di sini. Roslin dan Hafiz sebenarnya masih mempunyai kelab Nusa Mahsuri untuk berlatih. Di sana mereka mempunyai pemain lain dan jurulatih sekiranya mereka mahu menambah latihan,'' katanya.

Mengenai kemungkinan Roslin dan Hafiz menjadi pemain BAM, Misbun berkata, beliau tidak akan menghalang.

Namun beliau berharap sekiranya perkara itu berlaku, kontrak pemain-pemain itu dengan Yonex harus diambil kira agar tidak berlaku masalah seperti dulu.

Dua tahun lepas kedua-dua pemain bersama-sama Misbun pernah dilepaskan oleh Nusa Mahsuri untuk menyertai BAM tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana masalah perbezaan kontrak penajaan.

BAM ditaja oleh Gosen sementara pemain-pemain dan jurulatih Nusa Mahsuri ditaja secara individu oleh Yonex dan masalah ini jugalah yang menyebabkan `penyerahan' mereka oleh kelab Nusa Mahsuri sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cWTOCuDp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan