Sabtu, 25 Mac 2017

Hafiz tidak gentar dengan cabaran



ARKIB : 18/09/2002
JUARA perseorangan badminton di Sukan Komanwel Manchester 2002, Muhammad Hafiz Hashim tidak gentar untuk menyahut cabaran jika terpilih di antara dua pemain perseorangan negara yang bakal memikul tanggungjawab pada Sukan Asia di Busan, Korea Selatan pada 29 September hingga 14 Oktober ini.

Hafiz berkata, pengalamannya beraksi pada dua kejohanan antarabangsa tahun ini - Piala Thomas dan Sukan Komanwel bakal menjadi asas bagi dirinya untuk meneruskan persaingan pada Sukan Asia kelak.

``Apa yang membezakan saya dengan pemain lain ialah keyakinan saya yang tinggi dan tidak akan menyerah kalah tanpa bermain bermati-matian,'' katanya selepas majlis penyampaian anugerah John Hancock untuk atlet negara yang cemerlang pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur semalam.

Hafiz menerima RM2,000 kerana memenangi pingat emas pada temasya itu.

``Saya lebih yakin kerana persembahan baik saya pada ketika ini,'' menurut pemain yang berasal dari Kelantan itu.

Pada Piala Thomas yang diadakan di Guangzhou, China, Hafiz telah membantu pasukan negara untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan China 3-1 di peringkat separuh akhir.

Hafiz yang sebelum ini pernah mengatakan dia tidak begitu menggemari sistem mata 15 menjelaskan, dia kini semakin serasi dengan kaedah kiraan mata itu.

Mengenai persediaannya ke Sukan Asia, Hafiz berkata, dia sudah menjalani latihan di bawah jurulatihnya Misbun Sidek sekal balik dari beraksi di Sukan Malaysia (Sukma), Sabah.

Di Sukma IX Sabah itu, Hafiz memenangi pingat emas acara perseorangan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cKogIcGp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan