Sabtu, 18 Mac 2017

Beban tambahan Indra

ARKIB : 08/09/2001
PENASIHAT Badminton negara, Indra Gunawan menganggap kemasukan dua pemain terbaik Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim dan Mohd. Hafiz Hashim dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi tekanan tambahan kepadanya.

Menurutnya, penyerahan kedua-dua pemain itu bermakna beliau kini bertanggungjawab terhadap peningkatan ataupun kemerosotan prestasi mereka.

``Ia merupakan satu beban tambahan buat saya kerana mereka merupakan pemain yang sudah membuktikan kemampuan.

``Mereka sudah berada di tahap yang tinggi dan ia merupakan satu tugas berat untuk memastikan mereka tidak merosot selepas ini,'' katanya mengulas penyenaraian dua pemain Nusa Mahsuri bersama jurulatih mereka, Misbun Sidek ke dalam BAM.

Beliau mengakui terkejut dengan penyerahan kedua-dua pemain itu yang diumumkan oleh Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd Salleh itu.

Indra yang datang ke majlis penyerahan lukisan legenda badminton Malaysia di Muzium Negara bersama-sama Roslin berkata, beliau akan bersikap terbuka terhadap pemain tersebut kerana menganggap dia sudah matang dan tahu apa yang diperlukan.

``Roslin sudah tahu program latihan yang diperlukannya dan saya tidak akan memaksanya untuk mengikuti program saya. Kami akan menggunakan pendekatan komunikasi dua hala.

``Bagi Hafiz, dia masih muda dan dia boleh menyertai program pemain BAM lain,'' katanya yang sudah mula memberi tujuk-ajar kepada kedua-dua pemain itu sejak mereka menjalani latihan bersama bagi persiapan Sukan SEA, beberapa minggu lepas.

Indra bagaimanapun menegaskan akan cuba sebaik mungkin bersikap adil kepada kedua-dua pemain BAM mahupun Roslin dan Hafiz serta tidak mahu ada di antara mereka merasa teraniaya dengan perkembangan ini.

``Saya berharap perubahan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, pemain dan pegawai BAM serta Nusa Mahsuri,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bk8Ohak3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan