Ahad, 26 Mac 2017

Misbun kecewa sikap Ewe Hock



ARKIB : 08/01/2003
Misbun kecewa sikap Ewe Hock

Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
KETUA jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek marah dengan sikap Ong Ewe Hock yang telah dua hari tidak menyertai latihan tanpa memaklumkannya secara rasmi.

Misbun berkata, sebagai pemain senior yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan, Ewe Hock sepatutnya tahu dan patuh kepada peraturan dan undang-undang sebagai pemain.

Berikutan itu, beliau mahu pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu memberi alasan secara bertulis kepadanya.

``Saya mahu dia membuat penjelasan bertulis bagi memaklumkan alasan dia tidak menyertai latihan selama dua hari sekiranya Ewe Hock mahu terus berlatih di sini,'' kata Misbun.

Misbun yang memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan pada 2 Januari lalu berkata demikian di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Ewe Hock yang kini menanti tindakan disiplin daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana mengeluarkan kenyataan terbuka menegur sikap bekas setiausaha kehormat badan induk itu, Zolkples Embong tidak menghadiri latihan sejak kelmarin.

Bekas jurulatih Nusa Mahsuri itu berkata, pemain telah dimaklumkan mengenai kepentingan disiplin dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pada hari pertama beliau mula menjalankan tugasnya.

``Saya mahu semua pemain mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Ewe Hock tidak memberi penjelasan rasmi alasan tidak hadir latihan selama dua hari dan saya tidak puas hati dengan tindakannya ini.

``Dia boleh pergi ke pejabat BAM (di stadium yang sama) tetapi tidak pula datang bertemu saya untuk memaklumkan bahawa dia tidak dapat menghadiri latihan,'' katanya.

Sementara itu, Ewe Hock yang ditanya mengenai kenyataan Misbun itu berkata, dia telah memaklumkan kepada penolong jurulatih, Tey Seu Bock mengenai perkara itu.

``Saya telah memaklumkan kepada Seu Bock saya tidak dapat menyertai latihan kerana terpaksa menghadiri mesyuarat jawatankuasa disiplin semalam (kelmarin).

``Dan hari ini saya juga telah memaklumkan Seu Bock saya tidak dapat hadir kerana menyelesaikan urusan peribadi,'' katanya yang ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Ewe Hock bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Dalam perkara sama, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Gangga Rao berkata, ketua jurulatih boleh menjatuhkan hukuman sekiranya tidak berpuas hati dengan alasan yang diberi oleh pemain yang tidak menghadiri latihan.

``Mereka mempunyai kuasa untuk mendapatkan penjelasan daripada pemain yang tidak menghadiri latihan dan mempunyai kuasa mempertimbangkan alasan diberikan.

``Sekiranya merasakan alasan yang diberi tidak memuaskan, mereka boleh membawa perkara itu ke pihak jawatankuasa kejurulatihan ataupun exco ataupun ke ahli majlis sekiranya kesalahan itu didapati serius,'' katanya.

Dalam satu lagi perkembangan, BAM membenarkan bekas pemain dan jurulatihnya, Yong Hock Kin menjalani latihan bersama-sama skuad kebangsaan.

Misbun berkata, keadaan Hock Kin kini baik dan dia akan menyertai latihan selama sebulan sebelum kejohanan Seluruh England.

``Hock Kin perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pemain lain seperti kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka China bulan lepas,'' jelasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cRsRKv8a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan