Jumaat, 31 Mac 2017

Hafiz perlukan formula juara



ARKIB : 16/05/2003
 
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET

MUHD. Hafiz Hashim perlu mencari sendiri formula yang telah membantunya meraih kejuaraan Seluruh England Februari lepas sekiranya mahu mengulanginya pada Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham yang mungkin diadakan Ogos ini.

Jurulatihnya, Rashid Sidek berkata, beliau hanya boleh memberi latihan dan meningkatkan skil permainan Hafiz tetapi pemain itu sendiri perlu mengetahui tahap bagaimana yang diperolehinya ketika dia menjuarai Seluruh England.

``Ketika ini Hafiz masih tercari-cari bagaimana tahap permainan dan kecergasan fizikalnya ketika menjuarai kejohanan itu.

``Saya tidak dapat membantunya. Dia perlu menyedari sendiri keadaan ini dan mendapatkan `suasana' itu semula sekiranya ingin berjaya di kejohanan dunia,'' ujarnya.

Berikutan kemenangan bersejarah di England itu, telah menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk peminat serta pemain dan jurulatih luar.

Keadaan itu menyebabkan pemain kelahiran Kelantan berusia 20 tahun itu merasa tertekan dan kehilangan keyakinan diri ketika menyertai kejohanan antarabangsa selepas itu.

Rashid mengakui penundaan tarikh pertandingan kejohanan dunia yang pada asalnya dijadualkan 12-18 Mei di Birmingham berikutan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) memberi peluang kepada Hafiz untuk mendapatkan sentuhannya semula.

``Hafiz belum benar-benar bersedia untuk menghadapi kejohanan dunia sekiranya pertandingan itu tidak ditunda.

``Penundaan pertandingan ini merupakan satu rahmat buat Hafiz dan dia perlu menggunakan peluang ini untuk membuat persiapan lebih rapi sekiranya mahu muncul juara,'' katanya.

Menurut Rashid, beliau akan terus membantu Hafiz untuk membuat persiapan itu termasuk meningkatkan kepantasan pergerakan serta skilnya.

``Selebihnya terpulang kepada Hafiz kerana dia sendiri yang mengetahui apa yang diperlukan untuk mengulangi kejayaan di Seluruh England ini,'' jelasnya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cv3qGyHe© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan