Khamis, 23 Mac 2017

Barisan terbaik untuk benam Thailand



ARKIB : 14/05/2002
Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
Guangzhou, China
Piala Thomas/Uber 2002
9 - 19 Mei
GUANGZHOU - Malaysia tidak akan menggunakan ``strategi pelik'' apabila menentang Thailand dalam perlawanan genting Kumpulan B yang akan menentukan hidup-mati pasukan negara pada Piala Thomas di Gimnasium Tianhe, hari ini.

Pertemuan dengan Thailand bukan lagi waktu untuk ``bermain-main'' dan pasukan negara berjanji hanya barisan terbaik akan diturunkan dengan misi mencatat kemenangan, yang sekali gus melayakkan kita ke separuh akhir.

Pemecahan kombinasi beregu seperti yang dilakukan dalam pertemuan dengan Indonesia kelmarin tidak mungkin berulang, sebaliknya Malaysia akan turun dengan barisan yang mampu menundukkan Thailand tanpa mengira berapa mata kemenangan.

Walaupun pertemuan terakhir ke atas Thailand pada pusingan kelayakan di Melbourne Februari lalu memihak kepada Malaysia 3-0, namun jangan dilupa pasukan itu pernah mengaibkan kita 2-1 dan sekali gus memusnahkan peluang negara untuk melangkah ke separuh akhir Piala Asia di Singapura, tahun lalu.

Menurunkan Wong Choong Hann sebagai perseorangan pertama masih belum menjamin kemenangan Malaysia kerana pemain nombor satu negara itu memiliki rekod yang seimbang dengan perseorangan utama Thailand, Boonsak Polsana termasuk tewas pada Terbuka Malaysia dan Piala Asia tahun lalu.

Choong Hann menundukkan Boonsak dalam pertemuan pertama di Terbuka Malaysia 2000, sebelum menundukkan pemain itu 7-1, 7-4, 7-1 dalam pertemuan terakhir kedua-duanya di Melbourne.

``Kita belum putuskan barisan yang akan diturunkan esok, tetapi yang pasti ia bukan seperti senarai ketika menentang Indonesia,'' kata jurulatih perseorangan negara, Indra Gunawan.

Ketua pasukan, Ong Ewe Hock mungkin direhatkan hari ini dan tempatnya diisi pemain muda Nusa Mahsuri, Muhammad Hafiz Hashim.

Hafiz, 19, dijangka bertemu Anupap Thiraratsakul, manakala abangnya, Mohd. Roslin Hashim yang direhatkan pada dua perlawanan pertama bakal membuat penampilan sulung bertemu perseorangan ketiga Thailand, Jakrapan Thanathiratham.

Malaysia juga bakal menggandingkan semula bekas beregu utama, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang dipisahkan pada pertemuan dengan Indonesia untuk berdepan cabaran Khunakorn Sudhisodhi-Patapol Ngernsrisuk.

Jurulatih Thailand, Sampol Kukasemkij berkata, pasukannya mempunyai potensi mengutip mata daripada Boonsak dan pasangan Teesana Panvisvas-Pramote Teerawiwatana sambil meramalkan peluang Thailand ke atas Malaysia adalah 41-59. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9uUUJ7Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan