Rabu, 22 Mac 2017

Ewe Hock kini pemain No. 1 negara



ARKIB : 06/04/2002
ONG Ewe Hock akhirnya berjaya merebut tempat sebagai pemain nombor satu negara apabila menempatkan diri di ranking kelima, satu tangga di atas Wong Choong Hann dalam ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan kelmarin.

Ewe Hock, 30, merebut kedudukan di tangga kelima yang menjadi milik Choong Hann minggu lepas setelah berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea.

Pemain yang hanya menjuarai dua kejohanan antarabangsa sepanjang kerjayanya - Terbuka Malaysia 1996 dan 2001 sebelum ini dibayangi oleh Choong Hann dan Roslin yang silih berganti menduduki tempat pemain nombor satu negara.

Pemain yang kira-kira dua tahun lepas dikatakan hampir menamatkan kerjayanya dalam prestasi merudum bangkit apabila mendapat sentuhan bekas jurulatih Indonesia, Indra Gunawan.

Selain daripada itu, pemain muda negara, Lee Tsuen Seng juga berjaya menempatkan diri di 10 tangga teratas kedudukan ranking dunia itu.

Tsuen Seng yang menewaskan pemain berpengalaman Korea Park Tae Sang di Terbuka Korea minggu lepas untuk mara ke separuh akhir naik satu anak tangga berbanding minggu lepas.

Kedudukan dua pemain adik-beradik, Muhd. Roslin Hashim dan Muhd. Hafiz kekal di tempat ke-18 dan 17.

Sementara itu, gandingan Chan Chong Ming-Chew Choong Eng kekal sebagai beregu kedua dunia di belakang pasangan Indonesia, Candra Wijaya dan Sigit Budiarto.

Kedudukan beregu kedua negara, Jeremy Gan dan Ng Kean Kok terlalu jauh, berada di tangga ke-20 sementara Chang Kim Wai-Hong Chien Hun di kedudukan ke-27 dunia.

Beregu berpengalaman, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang terpaksa bekerja keras bagi persiapan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas di Guangzhou, China bulan depan berada di tangga ke-34.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan