Khamis, 19 Jun 2014

‘Makin serasi’

Oleh Ferzalfie Fauzi
Kuala Lumpur: Gandingan baru, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong dilihat semakin serasi apabila mereka menempah tempat ke pusingan suku akhir Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2014, semalam.Bagaimanapun, Boon Heong-Wee Kiong dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan beregu tuan rumah, Berry Angriawan- Ricky Karanda Suwardi dengan kemenangan 18-21, 21-18, 21-17.Kemenangan beregu yang kali pertama digandingkan jurulatih Pang Cheh Chang itu sudah pasti akan menaikkan lagi semangat pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang turut mara mudah ke suku akhir.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama, boleh dikatakan tidak menggunakan kemampuannya 100 peratus untuk mengalahkan pemain Perancis, Brice Leverdez 21-4, 21-16.
 Foto
KOMBINASI Boon Heong (kiri), Wee Kiong beri impak positif.
 “Memang kami sudah mara hingga ke suku akhir, namun masih ada beberapa masalah yang perlu diperbaiki dan kami perlu terus bekerja keras,” kata Wee Kiong.Menanti mereka di suku akhir pasangan Korea Selatan yang juga pilihan keenam, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong apabila beregu itu mengalahkan gandingan China, Chai Biao-Hong Wei 21-17, 21-14.

“Kombinasi kami juga perlu diperkuatkan lagi, walaupun baru digandingkan bersama. Kelebihan kami berdua mungkin dapat menyerap suasana kejohanan sebenar.

“Memang ia sangat berbeza ketika sesi latihan, apa yang kami buat mempersiapkan diri sebaik mungkin,” katanya yang akan berganding dengan Goh V Shem di Siri Super Terbuka Australia hujung bulan ini.

Hasrat untuk melihat pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng turut beraksi di suku akhir tidak kesampaian apabila tumpas kepada Kenichi Tago dari Jepun yang juga pemain pilihan keempat 18-21, 15-21.

Dalam pertembungan perseorangan wanita, Tee Jing Yi gagal melakukan kejutan ke atas pilihan keempat dari Thailand, Ratchanok Intanon apabila tewas 10-21, 24-26.

Sementara itu seorang lagi pemain perseorangan wanita, Yang Li Lian turut tersingkir apabila kalah kepada pemain pilihan keenam dari Korea Selatan, Bae Yeon Ju 11-21, 21-17, 8-21.


Artikel ini disiarkan MY METRO pada : 2014/06/20

Rabu, 11 Jun 2014

Chong Wei ke pusingan kedua Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Jepun 2014 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Pada perlawanan pusingan pertama hari ini, Chong Wei mengambil masa hanya 39 minit untuk menundukkan pemain Taiwan, Kueh Chun Shih 21-15, 21-13.

Pada pusingan kedua, Chong Wei, 31, yang juga juara bertahan akan bertemu pemain Jerman, Marc Zwiebler yang menumpaskan K. Srikanth 18-21, 21-13 dan 21-8 pada satu lagi saingan pusingan pertama.

Seorang lagi pemain Malaysia, Chong Wei Feng membuat kejutan besar dengan menewaskan pilihan keenam, Son Wan Ho dari Korea Selatan 15-21, 21-17 dan 21-15 pada perlawanan yang berlarutan hingga 67 minit.

Wei Feng bagaimanapun akan berdepan laluan sukar pada pusingan kedua kerana akan menentang bekas pemain nombor dua dunia, Lin Dan dari China yang menewaskan rakan senegaranya, Xue Song; 21-15, 21-18.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan ketujuh, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong terpaksa diheret ke rubber-set sebelum menjinakkan pasangan dari Hong Kong, Chan Yun Lung dan Lee Chun Hei 12-21, 21-11 dan 24-22.

Hoon dan Tan akan bertemu pasangan beregu Thailand, Maneepong Jongjit dan Nipitphon Puangpuapech yang terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov dari Rusia 21-19,18-21 dan 23-21 pada satu lagi perlawanan pusingan pertama.

Goh V Shem dan Tan Boon Heong mencatatkan keputusan paling mengejutkan pada perlawanan pusingan pertama selepas menundukkan pilihan ketiga, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa (Jepun) 21-13 and 21-11.

Pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei juga layak ke pusingan kedua apabila menewaskan beregu Jepun, Erika Aman dan Haruko Suzuki 12-21, 21-15 dan 21-16 pada perlawanan yang berlangsung selama 56 minit.

Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing menempah tiket ke pusingan selanjutnya selepas menundukkan pasangan Denmark, Anders Kristiansen dan Julie Houmann 21-18 dan 21-11 dalam acara beregu campuran. - BERNAMA
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140612/sl_01/Chong-Wei-ke-pusingan-kedua-Terbuka-Jepun#ixzz34NNz6rQV © Utusan Melayu (M) Bhd

RUJUKAN –UTUSAN LAMAYSIA ONLINE 11.6.2014