Khamis, 19 Jun 2014

‘Makin serasi’

Oleh Ferzalfie Fauzi
Kuala Lumpur: Gandingan baru, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong dilihat semakin serasi apabila mereka menempah tempat ke pusingan suku akhir Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2014, semalam.Bagaimanapun, Boon Heong-Wee Kiong dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan beregu tuan rumah, Berry Angriawan- Ricky Karanda Suwardi dengan kemenangan 18-21, 21-18, 21-17.Kemenangan beregu yang kali pertama digandingkan jurulatih Pang Cheh Chang itu sudah pasti akan menaikkan lagi semangat pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang turut mara mudah ke suku akhir.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama, boleh dikatakan tidak menggunakan kemampuannya 100 peratus untuk mengalahkan pemain Perancis, Brice Leverdez 21-4, 21-16.
 Foto
KOMBINASI Boon Heong (kiri), Wee Kiong beri impak positif.
 “Memang kami sudah mara hingga ke suku akhir, namun masih ada beberapa masalah yang perlu diperbaiki dan kami perlu terus bekerja keras,” kata Wee Kiong.Menanti mereka di suku akhir pasangan Korea Selatan yang juga pilihan keenam, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong apabila beregu itu mengalahkan gandingan China, Chai Biao-Hong Wei 21-17, 21-14.

“Kombinasi kami juga perlu diperkuatkan lagi, walaupun baru digandingkan bersama. Kelebihan kami berdua mungkin dapat menyerap suasana kejohanan sebenar.

“Memang ia sangat berbeza ketika sesi latihan, apa yang kami buat mempersiapkan diri sebaik mungkin,” katanya yang akan berganding dengan Goh V Shem di Siri Super Terbuka Australia hujung bulan ini.

Hasrat untuk melihat pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng turut beraksi di suku akhir tidak kesampaian apabila tumpas kepada Kenichi Tago dari Jepun yang juga pemain pilihan keempat 18-21, 15-21.

Dalam pertembungan perseorangan wanita, Tee Jing Yi gagal melakukan kejutan ke atas pilihan keempat dari Thailand, Ratchanok Intanon apabila tewas 10-21, 24-26.

Sementara itu seorang lagi pemain perseorangan wanita, Yang Li Lian turut tersingkir apabila kalah kepada pemain pilihan keenam dari Korea Selatan, Bae Yeon Ju 11-21, 21-17, 8-21.


Artikel ini disiarkan MY METRO pada : 2014/06/20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan