Sabtu, 30 September 2017

Badminton Piala Sudirman: Impian Malaysia melakar sejarah tidak kesampaian



ARKIB : 15/06/2007
KUALA LUMPUR – Impian Malaysia untuk melakar sejarah ke separuh akhir badminton Piala Sudirman buat kali pertama tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada penyandang juara, China di Glasgow, semalam.

Bagaimanapun, pasukan negara terselamat daripada tersingkir ke Divisyen Dua selepas Thailand tewas 1-4 kepada England dalam satu lagi perlawanan untuk meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan A.

England yang mengejutkan Malaysia 3-2 pada perlawanan pembukaan mengiringi China ke separuh akhir untuk berdepan juara Kumpulan B, Indonesia.

China yang menjadi pilihan utama mempertahankan kejuaraan akan menentang Korea Selatan, selaku naib juara Kumpulan B dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Bagi Malaysia, kekalahan kepada China sudah dijangkakan kerana lawan turun bersama kekuatan maksimum dengan barisan pemain lelaki dan wanita yang amat kuat.

Apa yang mengecewakan bukan kerana gagalnya pasukan negara ke separuh akhir, tetapi persembahan hambar beregu nombor dua dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Juara Seluruh England, Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland itu diharap mampu memberi tentangan terbaik buat juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun, namun mereka kalah mudah 9-21, 14-21 dalam masa 32 minit.

Ini merupakan kekalahan kedua buat pemenang pingat emas Sukan Asia itu dalam kempen Piala Sudirman selepas turut tumpas kepada pasangan England, Anthony Clark-Robert Blair pada saingan pembukaan, Isnin lalu.

Aksi tidak konsisten pasangan muda itu sekali gus menimbulkan tanda tanya, sejauh manakah keseriusan mereka dalam membawa cabaran Piala Sudirman yang sebelum ini tidak pernah dianggap penting oleh Malaysia.

Apa sekali pun status kejohanan kepada kebanyakan pemain negara, ia tidak menghalang Lee Chong Wei memberi persembahan terbaik.

Meskipun Malaysia sudah ketinggalan 0-4, Chong Wei tidak berputus asa untuk menundukkan juara dunia, Lin Dan 21-17, 21-17.

Kemenangan ini, biar pun tidak mampu menghalang Malaysia daripada tersingkir, ia sekurang-kurangnya meningkatkan keyakinan Chong Wei andai perlu bertemu lagi pemain nombor satu dunia itu pada kejohanan akan datang.

Bagi jurulatih China, Li Yongbo, tiada apa yang perlu digusarkan dengan kekalahan Lin Dan, biar pun mengakui ia agak mengecewakan.

Terdahulu, pasangan muda negara, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei melengkapkan rekod tanpa menang dalam semua perlawanan apabila tumpas 15-21, 17-21 kepada Zheng Bo-Gao Liong.

Anita Raj Kaur yang menjadi pilihan Malaysia untuk menggantikan Wong Mew Choo dalam perseorangan wanita seperti diduga bukan lawan kepada bekas juara dunia, Zhang Ning apabila tewas 16-21, 10-21.

Kekalahan Kien Keat-Boon Heong dalam beregu lelaki mengesahkan kemenangan China, sebelum Yang Wei-Zhao Tingting menjadikan kedudukan 4-0 dengan menumpaskan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui 21-12, 21-15.

Malaysia kini akan menentang juara Eropah, Denmark, yang menduduki tangga ketiga Kumpulan B untuk kedudukan kelima dan keenam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9GNqMHS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia hidupkan peluang



ARKIB : 14/06/2007

WONG Pei Tty melakukan smash dalam acara beregu wanita menentang pasangan Thailand dalam perlawanan Kumpulan A Piala Sudirman di Glasgow, semalam. Malaysia menang 3-2. – AFP.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita, Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui menghidupkan semula peluang Malaysia dalam divisyen satu kejohanan badminton berpasukan campuran Piala Sudirman apabila meraih mata kemenangan untuk menewaskan Thailand 3-2 di Glasgow, Scotland, semalam.

Selepas terikat 2-2 dalam perlawanan Kumpulan A itu, Pei Tty-Eei Hui melegakan Malaysia dengan membenam Duanganong Aroonkesorn-Kunchala Voravichitchaikul 21-16, 21-12 dalam masa 33 minit sekali gus mengembalikan peluang untuk ke separuh akhir.

Malaysia yang tewas 3-2 kepada England pada kelmarin, kini menduduki tempat kedua di belakang juara bertahan, China.

Keadaan agak cemas di kem Malaysia apabila Thailand merebut mata pertama menerusi beregu campuran, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam yang menundukkan Tan Wee Kiong-Woon Khe We 21-17, 21-14.

Namun perseorangan lelaki, Lee Chong Wei menyamakan kedudukan dengan menundukkan Boonsak Ponsana 21-15, 21-16 sebelumi Malaysia kembali tertekan apabila Wong Mew Choo dikejutkan Salakjit Ponsana dalam 56 minit dengan 17-21, 21-10, 15-21.

Juara Sukan Asia dan Seluruh England, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong yang tewas mengejut kelmarin, mengutip mata penyamaan kedua Malaysia dengan menundukkan Sudket Prapakamol-Phattapol Ngensrisuk 21-16, 21-12.

Malaysia kini terikat mata dengan England yang dibenam China 5-0, semalam. Skuad negara bagaimanapun mempunyai rekod perlawanan yang lebih baik untuk menghuni tempat kedua.

Malaysia akan bertemu China hari ini dengan mengharapkan keajaiban berlaku untuk mengalahkan juara tujuh kali berturut-turut itu sekurang-kurangnya 3-2 sambil mengharapkan Thailand menundukkan England.

China, seperti ketika menang ke atas Thailand, Isnin lalu mengekalkan rekod tanpa kalah walau satu set pun selepas membelasah England dan kekal teratas untuk ke separuh akhir menentang naib juara Kumpulan B mungkin denganIndonesia yang menewaskan Denmark 4-1.

Korea Selatan juga meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir selepas menang 4-1 ke atas Hong Kong dalam Kumpulan B.

Kemenangan Indonesia ke atas Denmark menyebabkan kedua-dua pasukan terikat di tempat kedua selepas masing-masing menang satu perlawanan.

Indonesia yang diketuai oleh juara Sukan Olimpik 2004, Taufik Hidayat, akan bertemu Hong Kong dalam perlawanan terakhirnya hari ini manakala Denmark berdepan dengan Korea Selatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9AvGsPz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia tempah laluan sukar -- Tewas kepada England pembukaan badminton Piala Sudirman



ARKIB : 13/06/2007

KUALA LUMPUR - Misi Malaysia untuk melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman buat kali pertama menerima tamparan apabila tewas 2-3 kepada England dalam perlawanan pertama di Glasgow, Scotland, semalam.

Kekalahan mengejut beregu nombor dua dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kepada Anthony Clark-Robert Blair menjadi faktor yang membawa kepada kekalahan Malaysia.

Terdahulu, pasangan remaja, Tan Wee Kiong-Woo Khe Wei seperti diduga bukan pencabar utama mata apabila kalah 10-21, 12-21 kepada juara dunia, Nathan Robertson-Gail Emms dalam saingan pembukaan.

Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo, bagaimanapun menghidupkan peluang negara dengan mengutip mata dalam perseorangan lelaki dan wanita untuk kedudukan 2-1.

Chong Wei hanya memerlukan 27 minit untuk menang 21-10, 21-10 ke atas Andrew Smith, manakala Mew Choo mengetepikan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Tracy Hallam 21-14, 21-18 dalam masa 34 minit.

Malaysia yang optimis mampu mengutip mata dalam beregu lelaki bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan juara Seluruh England, Terbuka Malaysia serta Terbuka Switzerland, Kien Keat-Boon Heong 21-18, 16-21, 16-21.

Selepas kedudukan terikat 2-2, semua harapan tertumpu kepada Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dalam perlawanan penentuan beregu wanita.

Pasangan nombor tujuh dunia itu memberi cabaran terbaik, termasuk mengheret saingan sehingga satu jam 13 minit sebelum kecundang 20-22, 21-18, 21-23 kepada juara Eropah, Gail Emms-Donna Kellogg.

Ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock mengakui, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir kini semakin sukar, namun belum berakhir.

Perit

‘‘Laluan memang perit tetapi masih ada dan kembali hidup jika kita mengalahkan Thailand (lewat malam tadi). Moral pemain untuk mencari kemenangan juga masih tinggi.

‘‘Kien Keat dan Boon Heong tidak harus dipersalahkan kerana kekalahan ini. Mereka bermain baik tetapi Clark-Blair juga beraksi cemerlang. Lagipun mereka bukan calang-calang beregu dan naib juara dunia,’’ Kim Hock ketika dihubungi di Glasgow, semalam.

Sementara itu, bagi England, kehadiran bekas pemain Malaysia, Tan Kim Her dalam pasukan kebangsaan mereka bulan lalu menjadi rahmat yang membawa kemenangan.

‘‘Jurulatih baru banyak membawa perubahan kepada kami. Taktik dan pendekatan yang digunakan ketika latihan membolehkan kami bersaing dengan beregu utama Asia.

‘‘Kami kalah ketika bertemu mereka (Kien Keat-Boon Heong) pada Terbuka Korea baru-baru ini (Januari). Ketika itu kami tidak cukup cergas, namun keadaan sudah berubah di sini,’’ kata Blair.

Kim Her menyertai England pada 1 Mei lalu selepas meninggalkan Korea Selatan dan tidak meneruskan hasrat untuk kembali ke Malaysia.

Kekalahan kepada England menipiskan peluang pasukan negara untuk melayakkan diri ke separuh akhir kerana pertemuan terakhir esok tidak menjanjikan kemenangan dengan penyandang juara dan pilihan utama, China bakal menanti.

China yang menurunkan barisan terbaiknya, diketuai tiga juara dunia - Lin Dan, Xie Xinfang dan Fu Haifeng-Cai Yun membelasah Thailand 5-0 untuk mendahului Kumpulan A.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Indonesia bermula buruk apabila tewas kepada Korea Selatan 3-2, manakala Hong Kong memberikan cabaran sengit kepada juara Eropah, Denmark sebelum kalah 3-2.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u90T0F3k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

Chun Seang muncul juara Satelit Asia



ARKIB : 03/06/2007

KUALA LUMPUR – Pemain remaja kebangsaan, Tan Chun Seang merangkul gelaran antarabangsa kedua dalam tempoh dua minggu berturut-turut apabila muncul juara kejohanan badminton Satelit Asia di Singapura, semalam.

Chun Seang, yang merupakan pemain skuad Projek 2010-2012 memerlukan 58 minit untuk menewaskan rakan senegara dan pilihan ketiga, Chang Kwong Beng 16-21, 21-16, 21-10 pada saingan akhir.

Ini merupakan kejuaraan kedua buat anak didik Rashid Sidek berusia 20 tahun itu selepas muncul juara Satelit Vietnam, minggu lalu.

Kemenangan tersebut membolehkan dia membawa pulang S$1,000 (RM2,220 ), manakala Kwong Beng selaku naib juara menerima S$500 (RM1,110).

Sementara itu, pasangan Koo Chung Chiat-Chang Hun Pin memberikan kejuaraan kedua buat Malaysia selepas muncul juara beregu lelaki menundukkan pasangan Indonesia, Bona Septano-Ahsan Mohammad.

Chung Chiat-Hun Pin dipaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 19-21, 21-10, 23-21 dalam perlawanan 45 minit.

Korea Selatan merangkul tiga daripada lima kejuaraan yang dipertandingkan dengan menjuarai acara perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u8P3HPpE
© Utusan Melayu (M) Bhd