Khamis, 21 September 2017

Beregu kita ke final - Kien Keat-Boon Heong berpeluang akhiri kemarau 25 tahun



 
ARKIB : 11/03/2007
BEREGU negara, Koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong berjaya ke perlawanan akhir badminton Seluruh England selepas menewaskan pasangan Denmark, Jen Erikksen-Martin Lungard Hansen 21-15, 21-13 pada separuh akhir, semalam.

KUALA LUMPUR – Beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Seluruh England apabila menewaskan beregu Denmark, Jen Erikksen-Martin Lungard Hansen 21-15, 21-13 pada separuh akhir, semalam.

Selepas cabaran dalam acara perseorangan berakhir di suku akhir, Kien Keat-Boon Heong menjadi satu-satuya harapan terbaik negara untuk menyekat dominasi China daripada menguasai gelaran tahun ini.

Kemenangan itu membolehkan juara Sukan Asia 2006 itu menempah pertemuan dengan pasangan Cai Yun-Fu Haifeng di akhir hari ini.

Terdahulu beregu pilihan pertama kejohanan dari China itu menewaskan pasangan campuran Indonesia/Amerika Syarikat, Tony Gunawan-Chandra Wijaya 18-21, 21-19, 21-18.

Jika Kien Keat-Boon Heong berjaya muncul juara hari ini, pasangan itu akan mengakhiri kemarau 25 tahun dalam acara beregu lelaki di Seluruh England.

Kali terakhir beregu Malaysia muncul juara di sini ialah menerusi pasangan Razif-Jalani Sidek pada 1982.

Sementara itu, pasangan beregu wanita negara, Wong Pei Tty/Chin Eei Hui mencatat sejarah sendiri dan barangkali untuk badminton wanita Malaysia apabila mara ke separuh akhir di sini, kelmarin.

Pei Tty-Eei Hui mengetepikan pemain pilihan keempat Cheng Wen-hsing/Chien Yu-chin dari Taiwan 21-12, 21-18 di Arena Tertutup Birmingham untuk bertemu dengan pilihan kedua Yang Wei/Zhang Jiewen dari China.

Bagaimanapun sehingga lewat malam tadi, mereka masih menunggu giliran untuk turun ke gelanggang.

Mereka merupakan pasangan yang masih tinggal dalam persaingan bahagian wanita selepas Wong Mew Choo tewas di tangan pemain nombor dua dunia Zhang Ning dari China 17-21, 15-21 dalam acara perseorangan.

Satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung awal malam tadi antara sesama pemain China, Wei Yili/Zhang Yawen melakukan kejutan menewaskan pilihan utama, Gao Ling/Huang Sui 21-9, 19-21, 21-14.

Pemain China ternyata kelihatan cukup perkasa selepas meraih 14 daripada 20 slot yang disediakan dalam lima acara itu.

Malah, lima daripada 10 perlawanan separuh akhir semalam adalah antara sesama pemain China, terutama dua perseorangan lelaki, satu perseorangan wanita, satu regu wanita, dan satu regu campuran.

Ini bererti China mempunyai empat representasi dalam lima peringkat akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tNP83m65
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan