Sabtu, 9 September 2017

Badminton Remaja Dunia: Pemain kita mara



ARKIB : 08/11/2006
Badminton Remaja Dunia: Pemain kita mara

KUALA LUMPUR - Pemain utama negara, Mohd. Arif Abdul Latif dan Lydia Cheah mengetuai kempen Malaysia untuk menambah pungutan pingat pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila melangkah ke pusingan keempat acara perseorangan lelaki dan wanita di Incheon, Korea Selatan semalam.

Dua beregu lelaki dan wanita Malaysia turut melepasi halangan pertama masing-masing diketuai pasangan Lim Khim Wah-Mak Hee Chun dan Mohd. Arif Abdul Latif-Indra Mawan Vountus serta selain Ooi Swee Wenn-Amelia Ancelly dan Woon Khe Wei-Goh Liu Ying.

Mohd. Arif, 17, dipaksa berhempas pulas beraksi selama 43 minit sebelum mengetepikan Takuma Ueda dari Jepun 21-11, 17-21, 21-14.

Menanti juara Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) itu pada pusingan keempat hari ini adalah pemain Korea Selatan, Park Sung Min yang mara selepas mengalahkan Hsu Jen Hao dari Taiwan 21-16, 21-23, 21-14.

Cabaran perseorangan lelaki negara turut diteruskan oleh Lim Fang Yang, yang tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan Ratikanta Saha dari India 21-11, 21-13 untuk menempah pertemuan dengan Zhou Wenglong dari China.

Bagaimanapun, cabaran seorang lagi perseorangan negara, Teok Kok Siang yang diletakkan sebagai pilihan ke-5/8 dikejutkan dengan kekalahan 16-21, 18-21 kepada Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand.

Sementara itu, Lydia meneruskan kempennya untuk menjadi pemain wanita pertama Malaysia merangkul pingat acara individu pada Kejohanan Remaja Dunia dengan melangkah ke pusingan keempat.

Naib juara remaja Asia dan pilihan kedua itu menundukkan pemain Taiwan, Chang Pei Hsing 21-7, 20-22, 21-16 untuk berdepan Bae Youn Joo dari Korea Selatan.

Vivian Khoo menjadi perseorangan wanita kedua mara selepas menang 22-20, 21-19 ke atas Tse Ying Suet dari Hong Kong, namun cabaran Stephanie Shalini berakhir selepas tewas 8-21, 7-21 kepada Saina Nehwal dari India.

Dalam beregu lelaki, pasangan utama negara, Mohd. Arif-Indra Mawan Vountus menewaskan Fabien Hamme-Josche Zurwonne dari Jerman 21-10, 21-8 untuk mara ke pusingan ketiga.

Beregu kedua negara dan pilihan ketiga, Khim Wah-Hee Chun pula mudah menyingkirkan pasangan Pakistan, Ali Murad-Zaran Ghazali 21-13, 21-5.

Saingan beregu wanita menyaksikan Swee Wenn-Ancelly dipaksa bekerja keras sebelum mengalahkan pasangan Hong Kong, Chan Tsz Ka-Tse Ying Suet 19-21, 21-16, 25-23.

Khe Wei-Liu Ying juga diberi tentangan sengit oleh beregu Indonesia, Lily Siswanti-Dili ketika mencatat kemenangan 23-21, 21-14 dalam saingan pusingan kedua.

Sementara itu, beregu campuran Malaysia mencatat keputusan cemerlang dengan memiliki tiga wakil di pusingan keempat hari ini, diketuai pilihan kedua, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei.

Wee Kiong-Khe Wei menumpaskan pasangan tuan rumah, Lee Jung Hwan-Sun In Jang 21-17, 21-14 untuk menempah pertemuan dengan Li Tian-Ma Jin dari China.

Mohd. Lufti Abdul Khalid-Hoh Liu Ying pula mengetepikan gandingan Republik Czech, Jakub Bitman-Kristina Ludkova 21-19, 21-19 manakala Sanatasah Saniru-Goh Wei Shem menewaskan Boris Ma-Victoria Na dari Austria 21-8, 21-9.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sCXBzduF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan