Ahad, 24 September 2017

Tan Fook-Wan Wah ke final



ARKIB : 06/05/2007
SINGAPURA – Beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menghampiri kejuaraan kedua berturut-turut selepas melayakkan diri ke final badminton Terbuka Singapura, semalam.

Pasangan nombor enam dunia itu yang mempertahankan gelaran Asia di Johor Bahru, bulan lalu, bagaimanapun bakal berdepan juara dunia yang juga beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China dalam saingan akhir hari ini.

Semalam, Tan Fook-Wan Wah, juara Terbuka Singapura 1999 membuktikan mereka masih berbisa pada usia 31 dan 32 tahun apabila hanya memerlukan 26 minit untuk menewaskan beregu nombor empat dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-18, 21-13.

Kemenangan tersebut juga mengukuhkan kedudukan pasangan paling senior dalam skuad badminton kebangsaan itu untuk memburu tiket Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur, 13-19 Ogos ini.

Biarpun reputasi semasa berpihak kepada pasangan China untuk memenangi pertarungan hari ini, namun Tan Fook- Wan Wah sebenarnya memegang rekod pertemuan lebih baik ke atas lawan mereka.

Beregu nombor satu negara itu menang empat daripada lima pertemuan mereka, termasuk yang terakhir di Terbuka Hong Kong 2 September lalu dan China Masters 4 September, 2005.

Semalam, Cai Yu-Haifeng, naib juara Seluruh England mara ke final selepas berhempas pulas menumpaskan beregu handalan, Candra Wijaya-Tony Gunawan dari Indonesia/Amerika Syarikat 18-21, 23-21, 21-11.

Sementara itu, dalam cabaran perseorangan lelaki, pemain nombor satu Thailand, Boonsak Posana meneruskan kejutan dengan mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Chen Yu dari China.

Selepas mengejutkan juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Lin Dan pada saingan suku akhir, Boonsak menumpaskan pemain nombor satu tuan rumah, Ronald Susilo 21-13, 21-15.

Pemain nombor tujuh dunia, Chen Yu pula berpeluang untuk merangkul gelaran pertamanya tahun ini selepas mengecewakan jaguh veteran Denmark, Peter Gade 21-15, 23-25, 21-17.

Seperti kebiasaan, China mendominasi perlawanan akhir perseorangan dan beregu wanita dengan menempah pertemuan sesama sendiri, namun mereka tidak akan mempunyai wakil dalam final beregu campuran.

Juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Xie Xingfang mudah menundukkan pencabar Jerman, Xu Huaiwen 21-10, 21-4 untuk menentang bekas juara dunia dan pemain nombor dua dunia, Zhang Ning yang mengetepikan Eriko Hirose dari Jepun 21-11, 21-12.

Beregu wanita pula menemukan pasangan nombor tiga dunia, Zhang Yawen-Wei Yili dan Zhao Tingting-Yang Wei.

Tingting-Yang Wei tidak perlu turun ke gelanggang untuk mara ke akhir selepas rakan senegara, Zhang Jiewen-Gao Ling menarik diri, sementara Yawen-Yili mengetepikan pasangan nombor tiga dunia, Lee Kyung-won-Lee Hyo-jung dari Korea Selatan 21-12, 21-12.

Beregu campuran, satu-satunya acara yang tidak membariskan pemain China hari ini, menemukan beregu Indonesia, Flandy Limpele-Vita Marissa dengan Sudket Prapalamol-Saralee Thoungthong- kam dari Thailand.

Flandy-Vita bekerja keras untuk mengejutkan pasangan nombor satu dunia dan rakan senegara, Nova Widianto-Lilyana Natsir 21-16, 16-21, 21-17 manakala Sudket-Saralee menundukkan beregu nombor dua dunia, Xie Zhongbo-Zhang Yawen dari China 16-21, 22-20, 21-18.

Terbuka Singapura merupakan pusingan kelima dalam kalendar kejohanan Siri Super dan menawarkan hadiah keseluruhan AS$200,000 (RM704,000).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tZzISZu8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan