Jumaat, 22 September 2017

Gelaran ketiga hampiri Kien Keat-Boon Heong



 
ARKIB : 18/03/2007
BEREGU utama Malaysia, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong menewaskan pasangan Tony Gunawan-Candra Wijaya dalam separuh akhir Kejohanan Terbuka Switzerland, semalam.

KUALA LUMPUR – Sensasi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berterusan di kejohanan badminton Terbuka Switzerland semalam, apabila pasangan negara itu melangkah ke perlawanan akhir untuk menghampiri kejuaraan ketiga Siri Super 2007.

Pada saingan separuh akhir, Kien Keat-Boon Heong menewaskan bekas juara dunia dan juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan 23-21, 13-21, 21-7.

Terdahulu, juara baru Seluruh England itu menumbangkan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China buat kali ketiga berturut-turut di saingan suku akhir.

Ini juga merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicatatkan Kien Keat-Boon Heong ke atas Candra-Tony selepas menewaskan beregu Indonesia-Amerika Syarikat itu pada final Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Pasangan muda negara itu hanya tewas sekali, ketika kedua-dua mereka bertemu kali pertama dalam perlawanan akhir Terbuka Jepun, Oktober tahun lalu, iaitu penampilan sulung mereka.

Kien Keat-Boon Heong akan menentang pemenang di antara beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark atau pasangan Indonesia, Rian Sukmawan-Eng Hian yang berentap dalam satu lagi saingan separuh akhir pada lewat pagi.

Dalam perlawanan separuh akhir semalam, pasangan negara dipaksa berhempas pulas sejak awal permainan set pertama sebelum mencatat kemenangan 23-21.

Barangkali sebagai memenuhi strategi yang dicatur jurulatih, Rexy Mainaky, beregu muda negara itu memperlahankan permainan di set kedua dan membiarkan lawan beraksi agresif untuk tunduk mudah 13-21.

Sejurus perlawanan masuk set penentuan, kedua-dua pemain muda ini tidak langsung memberi peluang buat Candra dan Tony, mereka terus mengasak dengan smash kencang dan tidak membuka sebarang ruang.

Pemenang pingat emas Sukan Asia itu hanya memerlukan kurang 10 minit untuk menamatkan set akhir 21-7 dan menutup saingan dalam masa 28 minit.

KEPUTUSAN (separuh akhir)

BEREGU LELAKI: KOO KIEN KEAT-TAN BOON HEONG (MAS) kln Tony Gunawan-Candra Wijaya (USA/Ina) 23-21, 13-21, 21-7

PERSEORANGAN WANITA: Lu Lan (Chn) kln Jiang Yanjiao (Chn) 21-16, 21-15

BEREGU CAMPURAN: Muhammad Rijal-Greysia Polii (Ina) kln Jiang Yanmei-Hendra Wujaya (Sin) 21-12, 21-12; Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung (Kor) kln Robert Mateusiak-Nadiezda Kostiuczyk (Pol) 21-18, 11-21, 21-17

BEREGU WANITA: Zhao Tingting-Yang Wei (Chn) kln Chien Chin-Yu-Cheng Hsing-Wen (Tpe) 21-14, 21-19

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tPV9f7X8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan