Sabtu, 9 September 2017

Sairul, Tsuen Seng ke suku akhir



ARKIB : 04/11/2006

KUALA LUMPUR – Dua bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng mara ke suku akhir Terbuka Denmark, kelmarin sementara Wong Choong Hann yang pernah bergelar jaguh nombor satu negara pada satu ketika, terkandas.

Beregu lelaki nombor satu negara, Lin Woon Fui-Fairuzizuan Tazari turut mara ke suku akhir setelah menewaskan pasangan England, Chris Langridge-David Lindley 21-19, 25-27, 21-14 pada pusingan kedua.

Dalam pusingan ketiga, kelmarin, Sairul dan Tsuen Seng yang mewakili Kelab Reket Kuala Lumpur (KLRC) masing-masing menewaskan Nikhil Kanetkar dari India dan seorang lagi pemain Malaysia, Roslin Hashim.

Sairul menang 21-9, 21-11 sementara Tsuen Seng 21-16, 14-21, 21-17 dalam perlawanan di Arena Athletion, Arhus itu. Mereka kini berlatih di bawah bimbingan bekas jurulatih negara dan Indonesia, Indra Gunawan di KLRC.

Choong Hann pula mengalah 21-17, 21-12 kepada pemain Denmark yang juga pilihan utama kejohanan, Peter Gade Christensen yang mara ke suku akhir dengan rakan senegara, Kenneth Jonassen dan Joaquim Persson.

Tsuen Seng yang menyandang Terbuka New Zealand, baru-baru ini, berkata, dia menewaskan Roslin dengan kepantasan setelah menyedari lawan yang kini berlatih di Denmark, mempunyai kelebihan dari segi stamina yang tinggi.

“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana memang berharap untuk ke suku akhir. Jika mara lebih jauh sudah seperti satu bonus buat saya,” katanya yang baru sebulan menyertai KLRC selepas digugurkan oleh BAM kerana prestasi merosot.

Dalam suku akhir, dia akan menentang pemain China, Chen Hong manakala Sairul menghadapi Jonassen. Woon Fui-Fairuzizuan pula bertemu dengan pasangan Indonesia, Eng Hian-Rian Sukmawan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sBBIYGMW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan