Sabtu, 23 September 2017

Kejuaraan dalam genggaman - Final acara beregu Kejohanan Badminton Asia



ARKIB : 15/04/2007
Oleh: SOPI SAMAILE
 
BEREGU sensasi negara, Koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong akan menentang rakan sepasukan, Choong Tan Fook- Lee Wan Wah pada final Kejohanan Badminton Asia di Johor Bahru, hari ini. – Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR.

JOHOR BAHRU – Malaysia menempah kejuaraan acara beregu lelaki lebih awal apabila dua pasangan negara bakal bersemuka pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) di sini, hari ini selepas kejayaan menewaskan lawan masing-masing pada separuh akhir, semalam.

Juara Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menepati ramalan selepas mengatasi lawan dari Taiwan, Tsai Chia Hsin-Hu Chung Hsien menerusi rubber-set 18-21, 21-16, 21-10.

Dalam satu lagi separuh akhir, penyandang juara yang juga pasangan veteran negara, Lee Wan Wah-Choong Tan Fook mengalahkan gandingan rakan senegara, Abdul Latiff Mohd. Zakry-Mohd. Tazari Mohd. Fair 11-21, 21-13, 21-15.

Namum, agak malang apabila cabaran perseorangan lelaki berakhir selepas satu-satunya wakil negara, Yeoh Kay Bin tewas kepada pemain China, Cheng Hong 14-21, 21-17 dan 17-21.

Meskipun tewas, Kay Bin berjaya mengheret lawannya itu ke penentuan rubber-set.

Harapan pemain perseorangan wanita negara turut hampa apabila Wong Mew Choo tewas kepada pemain China, Lu Lan 17-21, 18-21.

Sementara itu, beregu campuran negara yang menggandingkan Mohd. Tazari- Wong Pei Tty turut kecundang kepada pasangan China, Xu Chen-Zhao Tingting 19-21, 21-23.

Pertemuan Wan Wah-Tan Fook menentang beregu sensasi negara, Kien Keat-Boon Heong mengulangi semula pertemuan akhir kedua-dua beregu itu pada Terbuka Korea yang menyaksikan kemenangan milik pasangan muda itu.

Meskipun menyedari permainan pantas pasangan yang semakin meningkat itu, Tan Fook memberitahu, beliau dan Wan Wah akan sedaya upaya untuk menjinakkan beregu muda tersebut.

‘‘Satu perkara yang baik apabila berlawan dengan pemain muda yang bertenaga dan ini akan menjadi satu cabaran kami untuk melakukan sebaik yang mungkin,” kata Tan Fook.

Sementara itu, bagi Kien Keat pula, perlawanan separuh akhir menentang pasangan Taiwan disifatkannya sebagai persembahan paling buruk setakat ini.

‘‘Kami tidak boleh bermain seperti ini jika mahu menang menentang Tan Fook dan Wan Wah dan yakin akan bermain lebih baik pada perlawanan akhir nanti,” ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tWV18npu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan